ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Isnin, 15 Jun 2009

FIRASAT

Firasat mengikut definisi Ulama: “Apa yang dapat diketahui oleh hati tanpa pengamatan atau hujah yang menyokong”.

Ibnu Athir membahagikan firasat kepada dua pembahagian

1. Satu karamat yang Allah anugerahkan kepada para kekasihnya (wali Allah) sehingga dapat mengetahui keadaan manusia. Allah menjadikan mereka istimewa dengan ketepatan segala agakan mereka.

2. Pengalaman, kepakaran yang dilatih dan petunjuk pada situasi yang semuanya ini boleh dilatih dan dipelajari. Ilmu ini menjadikan mereka mampu mengenal keadaan manusia.

Kesimpulan dari apa yang dikatakan Ibnu Athir: Firasat merupakan satu keadaan yang menjadikan anggapan seseorang bertepatan dengan hakikat dan realiti. Sebagai contoh; Menganggap seseorang yang tidak dikenali itu soleh atau fasik dengan perasaan peribadi. Realiti membenarkan apa yang dikatakan oleh hati.

Dalil Al-Quran berkenaan firasat;

1) Firman Allah di dalam surah al-Hadid ayat 28:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَآمِنُوا بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيَجْعَلْ لَكُمْ نُورًا تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkanNya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

2) Firman Allah Taala di dalam surah Syura ayat 52:

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلا الإيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: Dan Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah kami; Engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya Yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa Yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba kami. dan Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk Dengan Al-Quran itu ke jalan Yang lurus,

3) Firman Allah Taala di dalam surah al-Anfal ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) Yang membezakan antara Yang benar Dengan Yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia Yang besar.

4) Firman Allah Taala di dalam Surah at-Tolaq ayat 2-3:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا .وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya: dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

5) Firman Allah Taala di dalam surah al-Hijr ayat 75:

إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya balasan azab Yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang Yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya.

Dalil Hadis berhubung Firasat;

Sabda Nabi:

اتَّقُوا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِنِ ، فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُورِ اللَّهِ عَزَّ وَجَل

Maksudnya: Berjaga-jagalah daripada firasat orang beriman. Sesungguhnya mereka melihat dengan cahaya Allah Taala.

Perbahasan Ulama berhubung Firasat:

Berkata sebahagian Ulama: Berjaga-jagalah dengan firasat Ulama. Sesungguhnya ianya benar. Allah menjadikan firasat pada pandangan dan hati mereka.

Firasat terdapat 3 jenis:

1) Firasat keimanan

Pengetahuan mengenai gerak geri manusia, cara, sikap, perangai baik dan buruk, ucapan serta akhlak seseorang. Firasat ini diperoleh disebabkan nur yang dilemparkan oleh Allah ke dalam hati orang beriman. Kuatnya firasat ini bergantung pada kuatnya keimanan. Allah memberikannya kepada para Wali-walinya yang terpilih dan juga sebagai bekal dakwah untuk menyampaikan mesej yang paling sesuai kepada mereka yang akan mendengar. Firasat ini tidak boleh diingkari sebagaimana firman Allah yang lalu pada surah Al-Hijr ayat 75.

2) Firasat Latihan

Ini boleh diperoleh dengan latihan dan dipelajari. Kategori ini bukan satu anugerah tuhan. Diberi kepada si kafir dan si Muslim mengikut penguasaan dan usaha masing-masing. Gambaran untuk kategori ini seumpama ahli politik yang bergelumang dalam tempoh yang lama dengan masyarakat, akhirnya mahu memahami perangai dan peribadi masyarakat di sekelilingnya.

3) Firasat Semula jadi tubuh (biologi)

Menjadikan tabii diri sebagai petunjuk kepada peribadi. Petanda kepada diri seseorang yang menjadikan manusia lain mampu mengagak realiti dirinya. Seumpama janggut panjang menunjukkan kebodohan, kecilnya kepala menunjukkan bodoh, besarnya kepala menunjukkan bijak dan seumpamanya. Ini bidang yang menjadi kajian para doktor-doktor.

Adapun firasat yang kita ingin maksudkan di dalam perbahasan ini atau yang ingin dimaksudkan oleh Al-Quran dan Al-Hadis ialah firasat keimanan.

Apabila disebut firasat ia berbeza dengan tilikan. Ini kerana tilikan tidak datang kecuali daripada Ahli Maksiat. Firasat hanya diberikan kepada mereka yang beriman. Firasat juga tidak bermaksud manusia mampu mengetahui perkara-perkara ghaib, ini kerana firasat tidak lebih dari lintasan hati kesan daripada cahaya yang dilepar oleh Allah dan tidak mampu diyakini kebenarannya. Hanya mampu dipastikan kebenarannya setelah ianya berlaku. Adapun perkara ghaib adalah sesuatu yang pasti melalui jalan para Nabi.

Riwayat berkenaan firasat salaf soleh:

1) Kejadian baginda Nabi sakit yang membawa kewafatan baginda. Apabila ditanya kepada Sayidina Ali bagaimana keadaan baginda. Maka dijawab. Alhamdulillah semakin sembuh. Begitu juga Sayidina Abu Bakar sanggup meninggalkan kota untuk menyelesaikan beberapa urusan. Tetapi apabila diperhatikan oleh Al-Abbas keadaan baginda, beliau berkata: Baginda tiga hari lagi akan wafat. Ini menunjukkan firasat yang ada kepada Al-Abbas. Boleh merujuk kisah lebih lanjut di dalam Umdah al-Qari syarah kepada shahih Bukahri.

2) Suatu hari Abd Hamid keluar dari mekah bersama Imam Syafie. Mereka bertemu dengan seorang lelaki yang tidak dikenali di perjalanan. Abd Hamid berkata kepada Imam Syafie: Cuba engkau firasatkan, siapakah lelaki ini. Imam Syafie berkata: Tukang kayu atau tukang jahit. Lalu Abd Hamid pergi bertemu lelaki yang tidak dikenali tersebut. Lalu lelaki itu berkata kepada Abd Hamid sebelum ditanya: Engkau tukang kayu, adapun aku tukang jahit.

3) Berkata Ibn Abbas: Tidak ada seorang pun yang bertanya kepada aku kecuali aku mengetahui sama ada dia seorang faqih atau tidak.

4) Riwayat daripada Anas bin Malik: Satu hari Anas pergi bertemu Sayidina Usman tetapi sebelumnya beliau pergi ke pasar dan ternampak seorang wanita. Apabila Anas masuk bertemu Sayidina Usman lalu sayidina Usman berkata: “Salah sorang daripada kamu masuk bertemu ku tetapi di matanya terdapat kesan zina”. Lalu Anas berkata: Apakah masih ada wahyu selepas Baginda? Jawab Sayidina Usman: Tidak, tetapi ini adalah firasat dan petunjuk.

5) Berkata Ibn Masu’d t: 3 manusia yang mempunyai firasat:

1) Abu Bakar apabila firasat melantik umar

2) Wanita yang berfirasat supaya digaji musa bekerja dengan mereka 3) Ucapan Aziz apabila melihat Nabi Allah yusuf, lalu minta untuk semua orang muliakannya.

Kesimpulan: Firasat hanya akan diperoleh oleh orang-orang beriman. Berkata Abu Syuja’ al-Karmani S teknik untuk mendapat firasat ini: Sesiapa yang menjaga matanya daripada yang haram, menjaga dirinya daripada mengikut syahwat, sentiasa menghidupkan batin dengan muraqabah kepada Allah dan tidak akan makan kecuali yang halal, maka firasatnya tidak akan tersilap.

Sesiapa yang menjaga matanya daripada perkara yang diharamkan, maka akan memperoleh 3 perkara:

1) Kelazatan Iman

2) Kuat, teguh dan beraninya hati dan perasaan.

3) Akan tepat firasatnya.

Allahu A’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails