ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Selasa, 31 Ogos 2010

HaRi KeMeRdEkAaN_DeFiNisi jALur gEmiLanG




Sejarah Bendera Persekutuan Tanah Melayu

Sejarah penerimaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk Bendera.

Satu pertandingan peringkat kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga rekabentuk bendera telah terpilih ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.

Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu.

Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 29 November 1949 menunjukkan majoriti orang telah memilih rekabentuk ketiga. Rekabentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.

Rekabentuk tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

Rekabentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.


Sejarah Bendera Malaysia (Jalur Gemilang)

Bendera Malaysia adalah berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan rekabentuk Bendera Malaysia yang mengikut rekabentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru - Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963.

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang.

JALUR GEMILANG adalah nama Bendera Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-40 di Dataran Merdeka.

Keterangan Lambang-Lambang

Bendera Malaysia (Jalur Gemilang) mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang yang sama lebarnya, tanda keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri:

   1. Johor
   2. Kedah
   3. Kelantan
   4. Melaka
   5. Negeri Sembilan
   6. Pahang
   7. Pulau Pinang
   8. Perak
   9. Perlis
  10. Sabah
  11. Sarawak
  12. Selangor
  13. Terengganu
  14. Kerajaan Persekutuan

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima  melambangkan perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua ini mengandungi anak bulan, tanda Agama Islam. Bintang pecah 14 tandanya perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan

Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu
.

Maksud "Jalur Gemilang"

JALUR- menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
GEMILANG- bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian, Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekalipun sama ada di dalam atau di luar negara.

Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Jalur atau Bendera melambangkan citra atau imej negara dan rakyat yang patriotis, gigih, gagah dan berani menghadapi cabaran serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara. Warna merah melambangkan gagah dan berani menghadapi cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran budi dan warna biru melambangkan rakyat yang bersatu padu dan hidup rukun damai. Warna kuning pula melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.


Tempat

Jalur Gemilang dikibarkan di tempat-tempat seperti berikut:

- Kediaman
- Kedutaan
- Bangunan (di luar, di dalam, di atas)
- Pejabat
- Kapal / Feri / Bot
- Kapal Terbang
- Kereta

Hari

Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 menetapkan Bendera Persekutuan (Jalur Gemilang) hendaklan dikibarkan pada hari-hari pejabat biasa dan hari-hari Kebesaran Persekutuan dan Negeri.

Sekolah-sekolah hendaklah mengibarkan bendera pada hari-hari persekolahan.

Di peringkat Negeri, ia dikibarkan pada hari-hari seperti:

* Hari Ulangtahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
* Hari Kebangsaan
* Lawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke negeri-negeri.


Masa

Tradisi mengibarkan bendera adalah dinaikkan dari waktu matahari terbit sehinggalah matahari terbenam iaitu mulai 7.00 pagi hingga 7.00 petang.

Kerajaan Persekutuan telah menetapkan bendera dikibarkan seperti berikut:

1. Bangunan-Bangunan Kerajaan Persekutuan - Mengikut waktu pejabat biasa dan dikibarkan terus menerus (overnight) sekiranya hari berikutnya adalah Hari Kebesaran/Cuti Umum yang ditetapkan bendera dikibarkan.
2. Sekolah-Sekolah - Mengikut waktu mulanya kelas pertama dan diturunkan lepas kelas terakhir tamat.
3. Kapal dan Feri - Dikibarkan sepanjang hari.


Susunan Keutamaan

Susunan Keutamaan bendera-bendera ialah seperti berikut:

1. Bendera Malaysia Jalur Gemilang
2. Bendera Negeri-Negeri (mengikut susunan keutamaan)
3. Bendera Wilayah (Susunan Keutamaan mengikut tarikh wilayah diwujudkan)
4. Bendera Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan
5. Bendera Pertubuhan dan Persatuan
6. Bendera Syarikat

Keutamaan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri-Negeri ditentukan mengikut Susunan Keutamaan DYMM Raja-Raja Melayu dan TYT Yang di-Pertua Negeri (Perkara 70 Perlembagaan Persekutuan).

Susunan sekarang* seperti di bawah. Susunan ini berubah sekiranya berlaku pertukaran dalam Susunan Keutamaan disebabkan adanya perlantikan baru.


Related Posts with Thumbnails