ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Rabu, 24 Februari 2010

Kempen Anti Zina: Dosa zina tidak berkurang dengan pakai kondom

1. Tahap gejala sosial negara kita hari ini kian parah . Pergaulan bebas , penzinaan [ pelacuran ] , arak dan aneka maksiat tumbuh subur bagai cendawan selepas hujan .

2. Lebih malang apabila gejala sosial yang negatif ini bagai ada penaung dan pihak yang menyuburkannya dengan pelbagai aktiviti maksiat dan mungkar tanpa kawal .

3. Kelab malam , karaoke , pub , rumah urut dan pusat - pusat hiburan bercambah mengatasi bilangan masjid surau . Dalam satu qariah tentunya hanya dibenarkan sebuah masjid berasaskan mazhab Imam Syafie tetapi entah mazhab apa yang digunakan untuk memberi keizinan [ lesen ] kepada pengusaha pusat hiburan yang banyak dalam satu qariah . [ sebagai sample kes saya rujuk qariah Kuantan ]

4. Rancangan televisyen , filem dan internet tanpa kawal antara yang menyumbang secara aktif ke arah suburnya maksiat dan mungkar dalam negara kita . Inilah musibah besar yang sedang melanda negara kita malah mampu meruntuhkan sebuah peradaban kemanusiaan . manakan tidak , setelah mereka rangsang nafsu dan syahwah melalui aktiviti - aktiviti maksiat dan mungkar , disuburkan lagi dengan kemudahan untuk mendapat pil - pil khayal , arak dan dadah malah disediakan pula tempat mereka beroperasi secara selamat di dalam premis berlesen maka ...............

5. ...... berlakulah zina dan lahirlah anak luar nikah . Akhirnya manusia menjadi binatang yang kejam lalu membakar bayi yang tidak berdosa hidup - hidup , sebahagiannya dicampak menjadi makanan anjing liar . Mereka akhirnya menjadi penjenayah dan mangsa jenayah kejam mereka ialah anak mereka sendiri .

6. Semua pihak bertanggungjawab menangani perkara ini . Selamatkan negara dan selamatkan masyarakat kita dari terus menjadi mangsa maksiat dan mungkar yang keji ini . Pihak berwajib mesti segera mengambil langkah berkesan secara drastik dan tentunya antara pendekatan berkesan untuk mengatasi perkara ini ialah melalui pendekatan holistik .

7. Kerajaan mesti mempunyai agenda yang jelas dan serius untuk membasmi gejala zina , pergaulan bebas dan penagihan arak yang semakin ketara ini .

a ] Perbanyakkan institusi pengajian agama dan wajibkan pelajar menyertainya
b ] Hapuskan pusat - pusat hiburan yang hanya memusnahkan akhlak dan moral
c ] Benteras aktiviti pelacuran secara serius dan bersungguh - sungguh .
d ] Bimbingan kerjaya buat remaja dan belia .
e ] Kempen perkahwinan digiatkan serta mudahkan proses berkahwin .
f ] Beri bantuan kewangan dan khidmat kaunseling yang pasangan yang memerlukan
g ] Batalkan semua konsert hiburan yang melampau
h ] Tapis semua rancangan televisyen dan filem dalam negara
i ] Biayai masjid surau dan anjurkan program ilmu untuk masyarakat .
j ] dan lain - lain yang positif dan boleh menyelamatkan masyarakat dari terus terjebak dalam perangkap nafsu dan syahwah yang membinasakan .

8. Sungguh hairan jika kerajaan gagal mengawal dan membendung aktiviti maksiat dan mungkar ini sedang kerajaan mempunyai segala keupayaan dan kemampuan untuk melakukannya . FRU boleh digunakan bertrak - trak untuk membatalkan majlis ceramah dan himpunan aman tetapi mereka seperti lumpuh tidak mempunyai anggota apabila berdepan dengan pelacuran dan maksiat yang lain .

9. Saya juga kesal melihat bagaimana wanita UMNO bertindak untuk menangani perkara ini . Mereka seperti berpura - pura dan bersikap acuh tak acuh dalam bertindak . Menangani kes buang bayi tidak terhendi setakat melancarkan kempen selamatkan bayi dan menawarkan Wanita UMNO sanggup menjadi ibu yang memelihara bayi - bayi tersebut tetapi mestilah dilihat malah dibenteras puncanya iaitu zina .

10. Samalah kes menangani penyakit Aids, saya tidak faham bagaimana mereka berfikir bahawa menangani penyakit aids ialah dengan menggalakkan penggunaan kondom .
Ertinya mereka dalam sedar atau tidak seperti bersetuju dengan zina cuma perlu menggunakan kondom. Dosa zina tidak menjadi kurang dengan pemakaian kondom sebagaimana dosa zina juga tidak terhapus semata - mata menyerahkan bayi yang dilahirkan kepada wanita umno untuk dipelihara .
Kalau nak bersihkan semak samun tebaslah dipangkalnya atau racunlah diperdunya bukan hanya menggunting dipucuknya .

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

kebenaran itu tidak semestinya menang, dan kemenangan itu tidak semestinya benar

Roslan Harun   


SEDANG anda memandu menghampiri sebuah persimpangan berlampu isyarat, anda terdengar bunyi siren. Anda pun mengerakkan kereta anda ke tepi, memberi laluan kenderaan yang anda sangkakan sebuah ambulans.

Bagaimanapun andaian anda salah. Kenderaan yang melepasi anda itu sebenarnya membawa orang besar dan berkuasa. Pegawai pengiring mengarahkan anda ke tepi dan kemudian konvoinya berdesup sekalipun lampu isyarat berwarna merah.

Demikianlah contoh menunjukkan bahawa ada orang lebih hebat daripada undang-undang. Mereka mengatasi undang-undang. Kisah 'The Emperor's New Clothes' (Pakaian Baru Raja) menceritakan bagaimana seseorang yang berkuasa itu sentiasa dikatakan betul sekalipun dia tidak betul (raja berbogel tetapi dikatakan berpakaian paling cantik dan hebat).

Anda benar kerana anda berkuasa. Yang penting di sini bukannya lojik sesuatu perkara itu tetapi siapa yang mengutarakan pendapat atau kata-kata tersebut.

Kata-kata seorang pengemis atau tukang sapu sampah mengenai politik sudah tentu tidak akan dipandang dengan sebelah mata walaupun apa yang mereka katakan itu ada kebenaran dan lojiknya.

Keadaan sebaliknya akan berlaku jika seorang raja atau mengemukakan pandangan. Walaupun kadang-kadang hal itu tidak masuk akal, disebabkan begitu berpengaruhnya orang tersebut, maka hal itu diterima juga orang awam kerana masing-masing terpaksa atau dipaksa mengakuinya.

Situasi ini berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita tidak lepas bebas kerana ada pihak yang mengikat diri kita. Dalam dunia hari ini, di mana terdapat aneka kemudahan dan penciptaan, dikatakan kehidupan kita semakin aman, hakikatnya mungkin tidak begitu.

Kita semakin takut, takut akan bayang-bayang kita sendiri dan juga takut kepada orang di atas kita kerana bagi mereka segala yang mereka utarakan kepada orang bawahan itu mereka anggap benar walaupun tidak benar.

Kisah pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dalam dunia lama Melayu mungkin boleh dijadikan contoh mengenai apa yang didakwa betul dan tidak betul. Pada mulanya, Sultan mendapati Hang Tuah tidak betul dan perlu dihukum.

Hang Tuah disembunyikan Bendahara Tun Perak di Ulu Melaka. Selepas Hang Jebat mengamuk dan Hang Tuah diperlukan untuk menghapuskannya, Hang Tuah dikatakan tidak bersalah pula. Hari ini Hang Tuah bersalah, esok Hang Jebat pula bersalah yang yang sentiasa betul adalah Sultan.

Sultan akan sentiasa betul kerana baginda mempunyai kuasa. Kerana kuasa di tangan baginda, orang bawahan tiada hak untuk menyatakan sesuatu itu betul atau sebaliknya.

Dunia ini memang aneh. 'Kebenaran' dapat dibeli dengan wang ringgit. Dengan itu siapa yang banyak wang dan berkuasa, dialah yang 'benar'. Dan orang yang membenarkannya mempunyai kepentingan sendiri.

Bagaimanapun 'kebenaran' yang dibeli dengan wang ringgit ataupun yang ada udang di sebalik batu tidak bertahan lama.

Dalam kisah 'The Emperor's New Clothes' sendiri memperlihatkan kebijaksanaan seorang budak yang dapat mengalahkan raja; memang raja bersalah dan tidaklah payah untuk diselindungkan keaiban raja seperti dilakukan menteri-menterinya.

Mengenai kebenaran dan kemenangan, bijak pandai mengungkapkan "kebenaran itu tidak semestinya menang, dan kemenangan itu tidak semestinya benar."
Related Posts with Thumbnails