ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Khamis, 28 Julai 2011

Romadhon Kariem (^^)v



update antivirus dosa² kita dengan berTAQWA padaNYA sempena kedatangan romadhon kariem tak lama lagi..

اللّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيْمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ

... “Ya ALLAh terbitkanlah anak bulan yang baharu ini kepada kami dengan disertai keberkatan, tetap di dalam iman, selamat dari semua kemudharatan dan kejahatan dan tetap di dalam Islam, tuhanku dan tuhanmu (anak bulan) adalah ALLAH `Azza wajall...”
- sunan Turmizi -

اللَّهُمَّ أعِنَّا حَيَاتَنَا فِى شَهْرِ رَمَضَانَ بِصِيَامِهِ وَقِيَامِه
ya ALLAH, bantulah kami hidup dalam bulan romadhon agar kami mampu... “ berpuasa padanya juga mampu menghidupkan malamnya semata-mata untuk meng`abdikan diri padaMU..”

w`alam..

Isnin, 25 Julai 2011

Perginya Seorang `ulama - Dato' Syeikh Zakaria Bin Haji Ahmad Wan Besar ( RohmatuLLAHi `Alaih )


Dato' Syeikh Zakaria Bin Haji Ahmad Wan Besar ( RohmatuLLAHi `Alaih )
Hari ini 23 Sya’ban 1432/25 Julai 2011, aku dikejutkan lagi dengan pemergian antara salah seorang `ulama ‘senior’ negeri Kedah Darul Aman,  iaitulah Dato' Syeikh Zakaria Bin Haji Ahmad Wan Besar ( RohmatuLLAHi `Alaih ), moga² ALLAH `Azza wajall merahmatinya, insyaALLAHu aMien..
Beliau adalah seorang ulama ‘senior’ Kedah. Di lahirkan pada 23 Januari 1928 di Kampung Jerai, Mukim Kupang, Kedah. Dalam usia yang lebih kurang 7 tahun beliau di bawa ke Mekah oleh keluarga beliau untuk belajar ilmu agama. Beliau belajar di Madrasah Darul 'Ulum ad-Diniyyah di Makkah dan di Masjidil Haram. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar. Di antara kerjaya beliau: Menjadi Mudir Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyyah, Guar Cempedak, Guru Penolong di Ma’had di Johor, Guru Penolong di Ma’had Mahmud Alor Setar dan Guru Di Ma’had Tahfiz al-Qur’an. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah. Beliau juga seorang yang banyak menghasilkan karya penulisan. Hampir 70 buah buku agama beliau hasilkan. Beliau seorang yang sangat gigih di dalam menyampaikan ilmu agama melalui majlis-majlis pengajian di masjid-masjid dan juga di corong ²  radio.
Antara guru beliau adalah Syeikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani al-Makki (Pak Da El), Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul Mutthalib al-Mandili al-Makki, Syeikh Yasin bin ‘Isa al-Fadani dan lain-lain.
Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam di Kedah khususnya dan di Malaysia `umumnya.
 Daripada  Anas bin Malik r.’anhu, ia berkata:
Rasulullah SAW bersabda: Di antara tanda² hari qiyamah ialah diangkatnya `ilmu, munculnya kebodohan, banyak orang² yang meminum arak, dan timbulnya perzinaan yang dilakukan secara terang²an ( wal`iyazubillah, aku mohon berlindung  dariMu ya ALLAH ).
-         Riwayah Imam Muslim –

        
Daripada  Abu Musa r.`anhu, ia berkata:
Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya menjelang terjadinya hari qiyamah, terdapat beberapa hari di mana pada hari² itu `ilmu akan diangkat, diturunkan kebodohan dan banyak terjadi peristiwa pembunuhan ( wal`iyazubillah, aku mohon berlindaung dariMu ya ALLAH ).
-         Riwayah Imam Muslim –


     Daripada  Abu Hurairah r.’anhu, ia berkata:
Rasulullah SAW bersabda:
Hari qiyamah semakin mendekat, `ilmu akan dicabut, fitnah akan banyak muncul, sifat kikir akan bermaharajalela dan banyak terjadi haraj. Para sahabat bertanya: Apakah haraj itu ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: iaitulah pembunuhan ( wal`iyazubillah, aku mohon berlindaung dariMu ya ALLAH ).
-         Riwayah Imam Muslim –


Daripada ` Abdullah bin `Amru bin `Ash r.’anhu, ia berkata:
Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
 Sesungguhnya ALLAH `Azza wajall tidak mengambil `ilmu dengan cara mencabutnya begitu saja dari manusia, akan tetapi ALLAH `Azza wajall akan mengambil `ilmu dengan cara mencabut (nyawa) `alim `ulama, sehingga ketika ALLAH tidak meninggalkan seorang `ulama pun, manusia akan mengangkat dari kalangan mereka pemimpin² yang bodoh yang apabila ditanya mereka akan memberikan fatwa tanpa didasari `ilmu lalu mereka pun sesat serta menyesatkan yang lain ( wal`iyazubillah, aku mohon berlindaung dariMu ya ALLAH ).
-         Riwayah Imam Muslim –


Semoga Allah merahmati beliau dan memberi sebaik-baik ganjaran kepada beliau.

Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah kepada al-Marhum Dato’ Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar serta mendoakan beliau. Al-Faatihah .....

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله، ووسع مُدخلهُ، واغسله بالماء والثلج والبرد، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، وأبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة
وأعذه من عذاب القبر ومن عذاب النار

W`alam..

Rabu, 13 Julai 2011

Menangani fenomena literalis agama — Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Add caption

July 13, 2011
13 JULAI — Rentetan dari isu demonstrasi aman di seluruh dunia Islam, telah terbit pelbagai fatwa yang kadang-kala bersifat partial ataupun berpihak. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga berlaku di negara-negara Arab pasca kebangkitan rakyat. Dalam mempertahankan kuasa para pemerintah Arab semasa — yang sebahagian besar pemerintah itu korupsi dan zalim- muncullah kelompok agamawan yang membela mereka.

Malangnya, pembelaan itu datang dari mereka yang kelihatan ‘kuat beragama’. Dalam kalangan mereka itu ramai pula dari aliran salafi zahiri atau kelompok salafis literalist. Mereka ini memahami nas-nas al-Quran dan hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siyasah sama macam ibadah khusus yang tidak boleh dilakukan sebarang pembaharuan dan tokok tambah.

Lantaran dari pemikiran ini, mereka membidaahkan perkara-perkara yang membabit urusan harian yang dilakukan atas kemaslahahan manusia. Maka, mereka membidaah kewujudan persatuan, parti politik, demonstrasi, nasyid, seni rekaan dan pelbagai lagi. Jika fatwa-fatwa mereka ini diterima, maka dunia Islam pasti akan jumud dan kehidupan manusia menjadi sempit di bawah lembayung Islam.

DIPUKUL DAN DIRAMPAS

Lebih dahsyat lagi, apabila aliran ini dimanfaatkan oleh para pemerintah yang korupsi dalam dunia Islam. Ini apabila kelompok ini menafsirkan hadis-hadis politik secara literal yang seakan-akan Islam memberikan ‘lesen’ besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah. Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang ‘kelihatan’ pro-pemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran, sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan.

Di Malaysia, kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat. Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan.

Antara yang dibaca dan disebarkan dalam mempertahankan para pemerintah dan menghalang rakyat melakukan kritikan –sekalipun aman- ialah hadis Huzaifah r.a: “Akan ada selepasku para pemimpin yang berpetunjuk bukan dengan petunjukku, bersunnah bukan dengan sunnahku, dan akan bangkit dalam kalangan mereka lelaki-lelaki yang jantung hati mereka seperti jantung hati syaitan dalam tubuh insan”. Kata Huzaifah: “Apa yang patut aku lakukan wahai Rasulullah, jika aku mendapati keadaan itu?”. Jawab baginda: “Dengar dan taat kepada ketua, sekalipun belakangmu dipukul, hartamu diambil, dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

Hadis ini dijadikan hujah, sehingga ada yang berkata ‘jika pemerintah membunuh kaum-keluarga saya pun, saya tidak akan mendakwa pemerintah di mahkamah dunia’. Saya tidak dapat bayangkan jika semua orang Islam faham seperti itu, maka bermaharaja lelalah para pemerintah dunia Islam, menindas mereka. Tidak boleh dibantah bahkan tetap taat. Ketika dunia berusaha mempertahankan hak asasi manusia agar tidak dicemar, tiba-tiba kita pula menarik umat ke belakang dengan tafsiran yang literal seperti itu. Bayangkan jika seorang yang baru hendak mengenali Islam dihidangkan dengan kefahaman seperti itu, bagaimanakah mungkin beliau ingin melihat keindahan Islam dan keadilannya?

Di manakah sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih). Satu hadis tidak boleh dibaca secara berasingan tapi hendaklah melihat keseluruhan secara perbandingan dengan nas-nas yang lain. Jika tidak, penafsirannya akan cacat. Di situ adanya ilmu yang dinamakan Mushkil al-Hadith yang membincangkan hadis-hadis yang zahirnya kelihatan bercanggahan.
Hina dunia Islam hari ini, sekalipun Allah melimpahkan mereka dengan pelbagai kelebihan, adalah disebabkan salahguna harta rakyat dan ketidakadilan. Dalam beberapa sudut, pemimpin dunia Barat lebih amanah dan jujur kepada rakyat mereka dibandingkan apa yang ada di dunia Islam hari ini. Di mana pergi kekayaan minyak Arab? Bahkan, dari segi keadilan, kadang-kala haiwan di negara Barat lebih dibela dari seorang muslim yang hidup di dunia Islam; dipukul, dihina, dipenjara, bahkan dibunuh tanpa berani bersuara.

Sedangkan Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap ‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari).

Jadi, sejak bila pula, Islam menyatakan jika pemerintah melakukan kezaliman kita hanya diam dan bersabar! Malang sekali jika manusia di Barat dan Timur yang tidak muslim menentang pelanggaran hak asasi rakyat, tiba-tiba ada kelompok agama dalam Islam yang menyatakan kezaliman pemerintah dihadapi dengan diam, sabar dan taat!

HURAIAN
Hadis tentang taat dan patut sekalipun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakkan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka. Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah.

Begitu juga di bawah regim-regim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya. Namun, apabila dunia berubah. Negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat. Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa.
Maka, konteks hadis sudah berbeza.  Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri. Jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah.

Bagaimana mungkin rakyat tidak boleh membalaskan tindakan pemerintah melalui saluran keadilan dan tuntutan yang wajar, sedangkan dalam hadis, Nabi s.a.w sendiri sebagai pemerintah mengizinkan diri baginda dibalas. Ini seperti hadis yang diriwayatkan Ibn Ishak dalam sirahnya, ia disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah bahawa ketika Rasulullah membetulkan saf perang Badr dengan anak panah baginda, lalu baginda mencucuk perut Sawad bin Ghaziyyah, maka Sawad berkata: “Wahai Rasulullah! Engkau telah menyakitiku dan demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran dan keadilan, beriku untuk membalasnya”. Maka Rasulullah s.a.w pun menyingkap perut baginda dan bersabda: “Balaslah”. Lalu Sawad memeluk dan mencium perut Nabi s.a.w. Baginda bertanya: “Mengapa engkau buat begini wahai Sawad?” Beliau menjawab: “Seperti yang engkau lihat, aku ingin agar saat akhir aku denganmu, kulitku menyentuh kulitmu”. Lalu Rasulullah s.a.w pun mendoakan kebaikan untuknya”.

Rasulullah s.a.w yang merupakan seorang nabi dan pemerintah, jauh lebih mulia dari semua pemerintah mengizinkan diri dibalas atas tindakannya, bagaimana mungkin ada pihak boleh menyatakan tindakan pemerintah tidak boleh dipertikai atau dibawa ke mahkamah, atau dibicarakan atau dituntut kesalahannya oleh rakyat! Alangkah dangkalnya penghujahan seperti itu. Ini boleh membawa kepada menolong kezaliman penguasa.

Sedangkan Nabi s.a.w “Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmii. Dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337-339).

ERTI PEMERINTAH

Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu? Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu! Sebaliknya dalam agama ini kemuliaan muslim seperti yang disebut oleh Nabi s.a.w: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebab itu, sehingga dalam bab bughah iaitu mereka yang keluar memerangi pemerintah dengan senjata, al-Imam Abu Ishaq al-Shirazi menyebut: “ ... jangan dimulakan peperangan sehinggalah ditanya mereka apa sebab mereka bertindak balas demikian. Jika mereka menyebut tentang sesuatu kezaliman, maka hendaklah diatasinya, jika mereka menyebut sesuatu sebab yang boleh diselesaikan, hendaklah diselesaikan. Jika mereka menyebut sesuatu kekeliruan, dihilangkan kekeliruan itu. Ini disebabkan firman Allah: “Hendakhlah kamu damaikan keduanya ... ” (Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 19/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Bahkan kitab-kitab fiqh menyebut bahawa harta bugha itu tidak boleh dirampas, yang cedera tidak boleh ditangkap dan yang lari tidak boleh diburu. Ini disebut dalam pelbagai kitab fekah seperti al-Majmu’ dalam Mazhab al-Syafii, al-Mughni dalam Mazhab Hanbali dan lain-lain. Demikian, bughah yang bersenjata, diberikan hak dalam politik islami, bagaimana mungkin rakyat yang tidak bersenjata dibiarkan dipukul dan dirampas harta mereka tanpa boleh membantah?! Fenomena literalis boleh mengelirukan!

* Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah ahli akademik dan bekas Mufti Perlis.

Related Posts with Thumbnails