ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Rabu, 23 September 2009

TALQIH SINA'IE

Sejarah Bayi Tabung Uji.

Ahli-ahli sains telah lama membuat kajian mengenai kemungkinan seseorang wanita boleh hamil tanpa mengadakan hubungan jenis dengan lelaki. Kehamilan akan berlaku apabila air mani lelaki dapat menyusup masuk ke anggota peranakan. Walau bagaimana pun, perkara ini dianggap menyimpang jauh di fikiran orang-orang dahulu dan sekadar berlegar menjadi dongengan dan kisah khayalan. Selain itu, kehamilan sebegini diangkat menjadi silsilah kelahiran pimpinan agama Hindu dan Buddha.

Saintis ulung, Ibnu Khaldun dan beberapa orang ahli falsafah Islam sebelum beliau seperti Ibnu Sina dan al-Farabi telah mencetuskan idea penciptaan yang menyerupai persoalan yang kita bincangkan ini. Idea sebegini dikemukakan ketika beliau membahaskan perihal kimia mengikut pendapat generasi terdahulu di dalam penulisan Muqaddimah beliau yang mahsyur. Beliau berkata, :

“Berpegangkan apa yang disebut oleh Ibnu Sina, Al-Farabi dan Al-Toghrani, manusia berkemungkinan akan terjadi daripada mani di dalam suasana tabi’e yang bersesuaian”.

Suasana tabi’e yang dimaksudkan adalah rahim. Kemudian Ibnu Khaldun berkata lagi :

“Apabila kita menerima kemungkinan tersebut dengan membuat pemerhatian dan penelitian kepada unsur-unsur, perbandingan, lingkungan dan aturcara kejadian di dalam rahim, penyelidikan terhasil memperincikan bahawa kejadian manusia benar-benar terbentuk sebegini tanpa ada suatu percanggahan dengan teori.”

Ibnu Khaldun merupakan saintis Arab muslim yang menerima kejadian manusia daripada mani, walau bagaimana pun, teori ini agak jauh dan kabur pada persepsi beliau lantaran pencapaian ilmu di zaman tersebut belum melewati tahap penemuan ini, sebagaimana kata beliau :

“Angkara cangkatnya pengetahuan manusia.”

Walaupun begitu, dalam memperkatakan sains kemanusiaan, Ibnu Khaldun menerima bahawa manusia terjadi dengan suatu proses yag cukup kompleks. Kata beliau :

“Bukanlah sesuatu yang mustahil dari sudut kelebihan dan tabiat, tetapi akal dan pengetahuan manusia tidak mampu mencapai kenyataan manusia diciptakan daripada mani, melalui kewujudan persekitaran yang sesuai.”

Dengan perkembangan penyelidikan dan pengetahuan dalam menentukan unsur-unsur yang tepat, terhasillah suatu penemuan yang dinamakan ‘bayi tabung uji’. Pencapaian sains terkini telah mampu menyediakan praktikan teknologi yang membentuk suasana dan persekitaran yang bersesuaian untuk menghasilkan kejadian manusia daripada mani, melalui proses dan kawalan yang sempurna dan padu.

Kisah penemuan ‘bayi tabung uji’ tersebar luas di mutakhir ini. Pelbagai penyelidikan dan eksperimen dijalankan oleh doktor-doktor perubatan Amerika dan begitu mendapat perhatian rakyat negara tersebut. Suatu percubaan memindahkan janin berusia lima hari dari rahim ibunya ke rahim perempuan kedua telah dibuat. Bayi ini dikandungkan selama sembilan bulan dan berjaya dilahirkan.

Untuk pertama kali dalam sejarah, seorang warga Australia berjaya melahirkan anak yang dipesum (1) daripada ovum wanita kedua. Kejayaan ini mendapat liputan istimewa dan disiarkan oleh akhbar De Bare (Perancis). Antara kandungan liputan tersebut :



(1) Percantuman sperma dan ovum (istilah utara semenanjung Malaysia)


“Seorang wanita yang tidak diketahui latar belakang dirinya telah menawarkan diri untuk menjadi ibu eksperimen, di Pusat Perubatan Long Beach. Kehadirannya disambut dan diterima doktor-doktor disitu dan memberitahunya bahawa segala persediaan untuk gerak amali eksperimen persenyawaan buatan telah dibuat. Eksperimen amali tersebut selamat dijalankan dengan mudah dan tanpa masalah.

Selepas lima hari, doktor telah mengesahkan pengovulan benih telah berlaku di rahim wanita tersebut. Bermula saat itu, kejayaan eksperimen yang dijalankan menajdi suatu kisah yang begitu menarik dan menggembirakan. Impian tinggi yang menjadi kenyataan itu dikemuka dan diserahkan kepada satu pertubuhan di Amerika, yang dinamakan Agensi Pertubuhan dan Penyelidikan Ilmu Sains Genetik; yang berperanan mengatasi masalah kemandulan para wanita.

Wanita yang menjadi ibu kontrak untuk mengandungkan janin tersebut mendapat ganjaran sebanyak 250 dollar sebulan daripada agensi tersebut sebermula berada dalam penyeliaan doktor. Dan menjadi ibu ujian kepada lahirnya ‘bayi tabung uji’ pertama di dunia. Peringkat terakhir kontrak sempurna apabila Doktor John Foster melakukan pemindahan janin tersebut ke dalam rahim wanita ke dua.

Eksperimen menggunakan dua ibu untuk mengandungkan seorang ‘bayi tabung uji’ ini dijalankan bertujuan untuk membolehkan wanita kedua yang bermasalah, untuk turut hamil. Setelah sempurna proses pemindahan janin ke dalam rahim wanita kedua, janin tersebut telah dikandungkan dengan selamat genap 28 minggu. Bayi biologi yang ditunggu-tunggu tersebut dilahirkan (1) oleh ibunya yang berusia 30 tahun dan disambut dengan gembira. Manakala ibu asalnya tidak diketahui latar belakangnya sedikit pun. Bayi yang dilahirkan adalah sempurna dan cantik serta tiada beza dengan bayi-bayi biasa.

Daripada penemuan ini, masalah kemandulan yang dihadapi oleh sesetengah pihak akan dapat diatasi. Kebanyakan kemandulan berpunca daripada tiub fallopio yang tersekat dan ovari yang tidak dapat berfungsi untuk mengeluarkan ovum. Melalui penemuan ini, kehamilan boleh dilakukan dengan aplikasi benih yang disumbang oleh wanita lain.”

Walau bagaimana pun, aplikasi penemuan ini mendapat bantahan daripada sesetengah pihak kerana dikira sebagai perjanjian perut kontrak yang melibatkan penyewaan sementara rahim seseorang wanita kepada suami perempuan yang bermasalah untuk hamil. Melalui cara ini, bayi tersebut seolah-olah dibeli oleh perempuan yang mandul, kemudian dinasabkan kepada pasangan mandul tersebut secara ‘tabanna’ ( التبنى ) . (2)

Justeru, suatu alternatif telah dirintis oleh saintis Australia untuk mengatasi bantahan ini. Ovum wanita asing disenyawakan dengan sperma suami dan terus dimasukan ke dalam rahim isteri untuk dikandungkan. Sementara saintis Amerika meneroka cara tersendiri dengan menjalankan proses persenyawaan di dalam rahim perempuan pertama dan kemudiannya terus dikandungkan oleh perempuan yang ingin menjadi ibu kepada bayi tersebut. Kedua-dua penemuan ini telah menyumbangkan suatu kemajuan dalam ilmu sains genetik. Dalam hal ini, empunya ovum tidak dikira ibu kepada bayi yang dilahirkan, sebaliknya wanita yang mengandung dan melahirkan mendapat hak untuk menjadi ibu.

b) Proses kejadian Bayi Tabung Uji.

Menurut Doktor Mohamad Ali al-Bazz, di dalam penulisan beliau, ‘Kejadian Manusia, Antara Kemajuan Perubatan dan Penjelasan al-Quran’ (3) , proses kejadian bayi tabung uji secara zatnya sangat ringkas dan mudah. Asas pembentukan bermula dengan ovum diambil setelah keluar dari ovari dan diletakan di dalam radas khas dengan perlindungan cecair fisiologi yang sesuai. Kemudian mani lelaki dicantumkan dengan ovum tersebut untuk tersenyawa. Apabila persenyawaan telah sempurna membentuk zigot, sel tersebut akan membahagi dua, kemudian membentuk empat sel dan seterusnya membentuk lapan sel. Proses ini berlaku pada hari ke empat setelah berlaku persenyawaan, dan dinamakan tahap ‘morula’ yang menyerupai bentuk buah mulberri.

(1) Bayi tabung uji pertama di dunia, Louis Brown dilahirkan pada 25 Jun 1978M, Majalah al-Arabi Bil 242/1979.
(2) Menasabkan bukan anak sebagai anak sendiri.
(3) Judul Asal – Khalqul Insan Baina At-Tibb wal Quran. Terbitan Dar Saudiah, m/s 527.
Morula yang akan berubah membentuk bebola benih yang dinamakan ‘blastuta’, akan dipindahkan ke dalam rahim secepat mungkin. Blastuta akan melekat di dinding rahim untuk membentuk kejadian seterusnya dan kandungan dibesarkan sehingga dilahirkan.

Untuk menghasilkan bayi tabung uji, biasanya beberapa ovum diperlukan untuk disenyawakan dengan sperma. Menurut Doktor Zaid al-Kailani, ketua bahagian perubatan kemandulan di negara Jordan, lebih satu ovum diperlukan untuk proses persenyawaan kerana satu ovum sahaja tidak menjamin kejayaan proses tersebut. Di sinilah timbul keraguan tentang kemungkinan terdapat lebihan nutfah (zigot) di luar rahim. (1)




(1) Majalah Majma’ al-Fiqh al-Islami kali ke-2 bil 2 Juz 1 (1407H) 1986 m/s 493.

Posted by insankhafii at 6:36 AM
Related Posts with Thumbnails