ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Sabtu, 16 Jun 2012

Haji atau Pilihanraya Menurut Perbahasan Syara` | Muhamad Zuhaili Saiman Pengerusi, Felo MANHAL PMRAM 2012

gambar hiasan




Persoalan mengenai mana prioriti yang perlu diutamakan apabila melibatkan pertembungan ibadah Haji dan juga kewajipan mengundi sekiranya pilihanraya berlaku pada musim Haji dapat dilihat kepada beberapa aspek yang penting sebelum kesimpulan dibuat. Aspek-apek yang penting ialah mengetahui bentuk kewajipan ibadah Haji dan kewajipan mengundi dalam pilihanraya serta memahami kaedah feqh muwazanat dan feqh aulwiyat.

HUKUM MENGERJAKAN HAJI

Haji merupakan rukun kelima dalam rukun Islam. Hal ini jelas berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :

“Dibina Islam itu atas 5 perkara (rukun), penyaksian tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad merupakan utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan puasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” – Bukhari dan Muslim

Bermula musim untuk umat Islam mengerjakan haji dengan ihram haji ialah pada bulan Syawal, Zulkaedah dan sehingga 10 Zulhijjah. Maka inilah ibadah Haji yang mempunyai waktu-waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“(Masa untuk mengerjakan ibadah) Haji itu ialah beberapa bulan yang tertentu.” – Surah Al-Baqarah : 197

Para ulama’ sepakat bahawa kewajipan haji adalah sekali sahaja bagi yang berkemampuan. Adapun kali yang kedua dan selebihnya merupakan ibadah tambahan yang dilakukan oleh individu tersebut sahaja, bukan atas dasar kewajipan. Hal ini dilihat kepada Nabi SAW tidak melaksanakan haji melainkan sekali sahaja iaitu Haji Wada’.[1]

Syarat wajib Haji ialah :

1- Islam
2- Baligh
3- Berakal
4- Merdeka
5- Berkemampuan

Berkemampuan di sini dimaksudkan dengan cukup bekalan untuk melaksanakan ibadah Haji serta perjalanan yang ingin dilalui selamat ke atas jiwanya dan hartanya. Jika seseorang muslim tersebut tidak mencukupi salah satu syarat ini maka Haji tidak wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab As-Syafie, kewajipan Haji tidak wajib melaksanakannya di awal waktu, bahkan terpulang kepada seseorang muslim untuk melaksanakannya pada bila-bila masa (ketika mencukupi syarat-syarat wajib) sebelum luput kewajipan tersebut iaitu kematian dan sakit sehingga menyebabkannya tidak mampu.

Sehubungan itu, sekiranya seseorang muslim tersebut mengetahui walau secara sangkaan yang kuat (zhan) akan seperti kematiaan dan sakit yang teruk maka haram baginya untuk melewatkan kewajipan haji sehingga menyebabkan luput kewajipan haji ke atasnya. Namun jika ia tidak mengetahui walau secara sangkaan yang kuat maka hukum kewajipan Haji kembali kepada asal iaitu terpulang kepadanya untuk melaksanakan kewajipan Haji pada bila-bila masa (apabila mencukupi syarat-syarat wajib).

Justeru, berdasarkan ilmu usul feqh berkenaan dengan kewajipan Haji ini, ia termasuk dalam kategori wajib muwassa’[2] (luas) iaitu wajib melakukan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan tersebut sebelum luput kewajipan itu.

Maka kesimpulan mengenai kewajipan Haji dapat dibuat beberapa perkara :

- Wajib dan merupakan salah satu rukun Islam
- Kewajipan hanya sekali sahaja
- Kewajipan apabila mencukupi 5 syarat wajib
- Termasuk dalam wajib muwassa’ (luas) iaitu boleh melaksanakan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan sebelum luput kewajipan dengan sebab kematian atau sakit yang teruk

Hukum Mengundi

Majoriti ulama’ menyatakan bahawa hukum mengundi wajib dan ia dikira berdasarkan kepada konsep penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.

Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.

Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat dengannya.

Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”

Hal ini demikian kerana mengundi mengundikan wasilah bagi memilih tampuk kepimpinan Islam dalam konteks mendirikan Negara Islam untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Sehubungan itu mengundi merupakan wajib kerana ia termasuk dalam wasilah bagi tujuan yang wajib iaitu mendirikan Negara Islam. Maka ini termasuk dalam kaedah :

ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب
Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.

Imam Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa jihad tidak hanya tertumpu kepada satu jenis sahaja iaitu menganngkat senjata berhadapan dengan musuh di medan perang. Sehubungan itru, Imam Ibnu Qayyim membahagikan jihad kepada 13 peringkat[3] iaitu :

- Jihad menentang nafsu sebanyak 4 peringkat
- Jihad menentang syaitan sebanyak 2 peringkat
- Jihad menentang golongan kafir sebanyak 4 peringkat
- Jihad menentang golongan zalim, bid’ah dan fasik sebanyak 3 peringkat

Maka segala perbuatan yang dilakukan bagi memenangkan Islam atau menaikkan Islam merupakan jihad dan ketaatan kepada Allah SWT serta mendapat pahala di hari akhirat. Sekiranya membuang benda yang menyakiti di tengah jalan atau laluan manusia juga dikira dalam Islam sebagai perkara yang mendatangkan pahala serta salah satu cabang daripada iman sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

“Iman itu lebih 70 cabang atau lebih 60 cabang, yang paling afdhal (tinggi) ialah (mengucap) penyaksian ‘tiada tuhan yang disemnbah melainkan Allah’ dan peringkat yang terendah ialah membuang perkara yang menyakiti (benda kotor dan sebagai) yang berada di tengah jalan. Malu itu satu cabang daripada iman”[4]

Justeru apakah menentang serta menolak kezaliman (dengan cara mengundi kepada pihak yang adil dalam pilihanraya) tidak termasuk dalam berjihad di jalan Allah SWT? Maka sudah tentu ia juga termasuk dalam konteks berjihad, melihat kepada beberapa hujah iaitu :

1- Ia merupakan seruan dakwah yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai seruan yang berbentuk hikmah dan peringatan yang baik
2- Waktu, masa, tenaga serta harta yang dibelanjakan bagi memenangkan pihak yang adil dan menarik masyarakat kepada perjuangan Islam dan menerima perundangan Islam merupakan jihad sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan Allah SWT membeli jiwa serta harta mereka dengan bayaran syurga
3- Termasuk juga dalam konteks menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia menyeru masyarakat dalam memilih perjuangan Islam dan menolak pihak yang zalim. Pihak yang tidak melaksanakan Islam adalah pihak yang zalim
4- Undi juga dikira sebagai salah satu konsep nasihat iaitu menasihati pemimpin. Ia termasuk dalam seruan Islam berkenaan agama sebagai konsep nasihat.
5- Termasuk dalam kewajipan masa kini iaitu menentang kerajaan yang zalim. Mengalahkan pihak dengan undian sebagaimana mengalahkan pihak musuh di medan perang. Tuntutannya mengalahkan pihak kezaliman dan memenangkan Islam walau dalam bentuk yang berbeza.

Sehubungan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :

1- “Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :

2- “Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”

3- Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :

4- “Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”

5- Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :

6- “Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”[5]

Justeru berkaitan hukum mengundi, dapat disimpulkan kepada beberapa perkara :

- Mengundi merupakan satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah bagi memilih kepimpinan Islam dalam mendirikan Negara Islam
- Mengundi dalam pilihanraya termasuk dalam konteks jihad kerana menentang kezaliman dan menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi memenangkan pihak Islam atau gerakan yang membawa perjuangan Islam
- Dalam ilmu usul feqh, kewajipan mengundi termasuk dalam wajib mudhaiyaq (sempit) iaitu mesti dilaksanakan pada waktu itu juga. Iaitu tempoh mengundi bagi pilihanraya Malaysia adalah 5 5 tahun sekali, maka kewajipan mengundi adalah pada waktu pilihanraya sahaja iaitu dalam tempoh 5 tahun sekali
- Kewajipan mengundi adalah setiap kali berlakunya pilihanraya

Feqh Muwazanat Dan Feqh Aulawiyat

Feqh muwazanat ialah pemahaman bagi sesuatu perkara yang bertembung samada pertembungan di antara maslahat dengan mudharat atau pertembungan maslahat dengan maslahat, mudharat dengan mudharat.

Feqh Aulwaiyat ialah memahami keutamaan bagi sesuatu perkara dalam mendahulukan apa yang sepatutnya didahulukan. Maka kedua-dua feqh ini mempunyai kaitan yang sangat rapat kerana dalam permasalahan yang timbul iaitu yang melibatkan pertembungan 2 perkara maka kita mesti memahami pertembungan yang berlaku sebelum mendahulukan atau mengutamakan sesuatu perkara tersebut.

Antara contoh yang disebutkan dalam Al-Quran ialah, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji dan memakmurkan MAsjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah.”

Maka dalam ayat tersebut perbuatan memberi minum dan memakmurkan Masjid Al-Haram merupakan kebajikan namun ia bukanlah aulawiyat yang dikehendaki oleh Allah sehingga mereka tidak mahu beriman serta berjihad. Maka aulawiyat yang patut diutamakan ialah beriman serta berjihad. Sebab itu Allah menyebut 2 golongan tersebut tidak sama martabat mereka di sisi Allah.

Justeru, dalam konteks jika pilihanraya berlaku pada musim Haji, maka kita mesti mengambil kira dari sudut feqh muwazanat dan feqh aulawiyat. Penilaian ini dapat dilihat kepada :

Feqh Muwazanat : –

1- Haji merupakan kewajipan dan ia adalah termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu rukun Islam. Mengundi merupakan kewajipan dan ia juga termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu wasilah bagi mendirikan agama.
2- Hasil kewajipan menunaikan Haji adalah kembali kepada individu yang melakukan Haji tersebut. Hasil kewajipan mengundi adalah kembali kepada umum iaitu pemerintah Islam yang diundi dan menang akan membawa maslahat umum dalam pemerintahannya.
3- Kesan tidak melaksanakan Haji pada tahun tersebut akan memberikan mudharat individu tersebut sahaja (iaitu masih belum melaksanakan kewajipan Haji) dan kewajipan tersebut boleh diganti dengan peluang pada tahun-tahun yang akan datang. Kesan tidak mengundi akan memberikan kesan yang umum (apabila pihak Islam dikalahkan oleh pihak yang menolak perjuangan Islam) dan kesannya adalah sepanjang tempoh 5 tahun iaitu Islam tidak dapat memerintah dan kezaliman akan memerintah sepanjang tempoh tersebut.

Justeru, ibadah Haji dan mengundi merupakan pertembungan di antara maslahat dan maslahat, maka konsep yang dilihat adalah kepada 3 perkara[6] sebagaimana yang dibentangkan di atas, iaitu

- Martabat maslahat. Haji (agama) dan mengundi (agama)
- Kadar menyeluruh samada umum atau individu. Haji (individu) dan mengundi (umum)
- Kesan waktu mudharat samada pasti atau tidak. Haji (pasti berlaku mudharat tetapi tahun tersebut sahaja) dan mengundi (pasti berlaku mudharat tetapi untuk tempoh 5 tahun)

Feqh Aulawiyat : -

- Haji merupakan penting iaitu tahap wajib. Mengundi merupakan penting iaitu tahap wajib.
- Haji tidak segera iaitu termasuk dalam konteks wajib muassa’ (luas), tempoh melaksanakannya sebelum luput kewajipan iaitu kematian atau sakit teruk. Mengundi termasuk dalam konteks wajib mudhaiyyaq (sempit), tempoh melaksanakannya ialah dalam waktu kewajipan tersebut ketika dalam pilihanraya.

Maka dalam penilaian feqh aulawiyat dilihat kepada sesuatu kondisi perkara tersebut samada penting atau tidak, dan segera atau tidak. Hasilnya sebagaimana yang telah dibentangkan di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pembentangan di atas mengenai hukum Haji dan mengundi dalam pilihanraya serta pemahaman mengenai feqh aulwaiyat dan feqh muwazanat, dapat kita ketahui bahawa :

1- Haji dan mengundi merupakan kewajipan dan maslahat serta martabat dharuriyatnya adalah peringkat agama kerana Haji merupakan salah satu rukun Islam manakala mengundi merupakan kewajipan dalam mendirikan agama.

2- Haji lebih fokus kepada individu yang melakukan ibadah Haji terseut iaitu maslahat dan mudharat adalah ke atas individu sahaja. Adapun mengundi lebih fokus kepada umum iaitu maslahat atau mudharat yang bakal terima menyebabkan pihak yang ramai dan umum.

3- Haji dan mengundi merupakan penting kerana ia merupakan kewajipan namun Haji tidak termasuk dalam konteks yang perlu diselesaikan segera (wajib muwassa’) manakala mengundi mesti dilaksanakan segera iaitu dalam tempoh tersebut juga (wajib mudhaiyyaq).

4- Kewajipan haji adalah sekali sepanjang hayat manakala kewajipan mengundi adalah setiap kali pilihanraya.

Sehubungan itu hasil perbincangan di atas menjelaskan beberapa perkara :
1- Pihak kerajaan (mana-mana negara terutama Negara-negara Islam), elakkan daripada berlakunya pertembungan tarikh antara pilihanraya dan ibadah Haji bagi meraikan syiar Islam iaitu Haji agar umat Islam dapat fokus untuk melaksanakan ibadah Haji sepenuhnya.

2- Jika terdesak seperti tidak ada tarikh yang lain melainkan terpaksa bertembung maka umat Islam mesti peka dan faham terhadap aulawiyat antara 2 kewajipan ini.

3- Individu yang sudah melakukan Haji sebelum ini, tidak menjadi keutamaannya lagi untuk melakukan ibadah Haji ketika itu, kerana Haji wajib sekali sahaja. Maka apabila bertembung perkara wajib (mengundi) dengan sunat (Haji kali ke-2 dan seterusnya) didahulukan perkara wajib (mengundi).

4- Jika bertembung antara 2 kewajipan iaitu ibadah Haji dan mengundi maka sebagaimana perbincangan di atas, diutamakan mengundi. Sirah menunjukkan bahawa jenazah Nabi SAW dikebumikan selepas para sahabat berbincang melantik ketua pemimpin. Besarnya kewajipan melantik pemimpin sehingga dilewatkan pengebumikan jenazah baginda SAW.

5- Jika individu yang sudah mendapat peluang mengerjakan Haji, akan tetapi berasa berat untuk menangguhkan ibadah Haji tersebut kerana bimbang berlaku mudharat besar yang dirasakan, maka jangan niat larikan diri daripada kewajipan mengundi, akan tetapi wajib ke atasnya ketika itu berdoa di depan Kaabah agar diberikan kemenangan kepada pihak Islam. Namun perlu ingat, walaupun begitu, keutamaan yang sebenar ialah mengundi (berdasarkan perbincangan di atas).

6- Umat Islam perlu memahami kaedah bahawa menanggung mudharat yang kecil (wang dan masa kerana terpaksa tunggu giliran untuk ibadah Haji) supaya menghilangkan mudharat yang lebih besar (pihak zalim memerintah disebabkan pihak Islam hilang undi).

Wallahu a’lam….

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1- Al-Intikhabat Ahkam Wa DHawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam
2- Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Sharouq
3- Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Dr Abdul Aziz Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah
4- Dhawabit Al-Maslahat, Dr Muhamad Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr
5- Nihayah As-Sul Syarh Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, cetakan Dar Ibnu Hazm
6- Hasyiah Baijuri, cetakan Dar Al-Maktab Al-Islami


 sumber


الفقير إلى الله :
فائز رمزي 

Antara ratu dan rakyat | DrMAZA



  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 11:03AM Jun 1 2012
Sambutan Diamond Jubilee sempena 60 tahun pemerintahan Queen Elizabeth II yang menaiki tahta sejak 1952 akan berlangsung UK beberapa hari lagi.

Dikatakan beberapa negara yang masih mendaulatkan monarki British itu seperti Australia, Kanada, New Zealand dan lain-lain akan turut menyambutnya.

Di UK, sambutan kelihatan agak besar. Masih nampak perasaan sayang rakyat pada ratu.

NONESaya sendiri merasakan, jika saya rakyat British yang asal, tentu saya juga akan berbangga dengan sumbangan yang pernah diberikan oleh keluarga diraja British itu.

Di samping pelbagai sudut yang dikritik, British pernah menjadi empayar yang begitu hebat dan luas sehingga disebut "the Sun never sets on the British empire".

Sebahagian kekayaan dan kemakmuran yang dirasai oleh rakyat British hari ini hasil usaha ‘penjajahan' yang dilakukan oleh keluarga diraja British, sama ada secara langsung ataupun tidak.

Di sudut itu, keluarga diraja British memang menyumbang untuk negaranya. Ia bukan keluarga diraja yang hanya menghisap hasil rakyat dan meminta mereka disanjung tanpa satu catatan sejarah yang boleh dibanggakan.

Mereka menjajah, ya! Itu suatu yang negatif bagi kita yang dijajah. Namun, untuk negaranya mereka telah membawa kekayaan pulang hasil ‘perahan' negara lain. Maka, keluarga diraja British adalah keluarga yang berjasa dan mencatatkan sejarah.

Sekalipun sebagai penjajah, mereka bukan keluarga diraja yang menjemput penjajah sehingga sanggup menyerah tanah dan rakyat untuk kepentingan diri, tetapi mereka menakluki negara lain dan membawa hasilnya ke Britain kembali.

Kritikan
Pun begitu sambutan Diamond Jubilee yang akan berlangsung itu tidak sunyi dari kritikan. Akhbar dan orang ramai ada yang memprotes sambutan tersebut sebagai membazir wang negara dalam keadaan ekonomi Eropah yang tidak stabil sekarang.

Ada yang membuat undian pendapat apakah sambutan itu membazir ataupun tidak. Ada pula yang mengira kos kerugian cuti disebabkan sambutan tersebut.

Hasrat Queen untuk mendapat hadiah sebuah kapal persiaran daripada kerajaan sempena Jubilee ini pun telah ditolak apabila tinjauan menunjukkan 64 peratus rakyat tidak bersetuju.

Demikian ramai juga yang mengkritik sambutan Jubilee ini disebabkan antara jemputan Queen ialah raja-raja yang dianggap tidak demokratik dan zalim dari pelbagai negara. Kritikan ditujukan kepada Queen sebagai tidak sensitif dengan isu kemanusiaan.

NONEApapun, kami di sini akan dapat cuti. Segala kritikan dan sokongan kepada Queen adalah asam garam kehidupan mereka di sini yang menghormati hak rakyat dalam bersuara. Setuju ataupun tidak satu hal.

Namun memberikan ruang rakyat bersuara adalah tanda pemerintah yang demokratik dan menghormati rakyat. Rakyat tidak dianggap derhaka hanya dengan memberikan pendapat yang berbeza.

Hanya kelompok ‘jakun' yang cuba hidup dalam dalam kalangan manusia berakal sahaja yang menganggap memberi pendapat itu satu jenayah, sekalipun ia tidak diikuti dengan aktiviti yang mengancam dan merosakkan keselamatan rakyat.

Ya, sudah pasti ada peraturan dan adabnya dalam setiap perkara. Namun hak bersuara tidak boleh dinafikan. Kita patut ‘tabik' kepada monarki British di ‘sudut itu'. Mungkin perkembangan politik British juga tidak memberikan mereka pilihan melainkan demikian.

Saya rasa itulah salah satu sebab monarki British itu masih disayangi dan rakyat merasakan mereka patut terus berada di situ.

Isu MalaysiaSaya terlambat ikuti perkembangan isu di Malaysia. Saya dimaklumkan bahawa ada isu tentang istana tertentu membida nombor kereta sehingga lebih RM 500,000.

Saya juga dimaklumkan bahawa ada yang telah kritik isu ini. Saya tidak tahu pendetilan isu tersebut. Saya tidak tahu siapa yang patut dipersoalkan.

Cuma, apabila ada yang bertanya dalam Twitter, saya jawab secara umum bahawa ‘JIKA' golongan istana tidak boleh dipertikaikan bererti rakyat telah mempertuhankan mereka.

Ini kerana hanya Tuhan sahaja yang tidak boleh dipertikaikan oleh manusia. Saya tweet hal itu secara umum tanpa ditujukan khusus kepada sesiapa.

azlanAda yang cuba menjadikan tweet itu khusus kepada isu berkenaan. Sebenarnya tidak. Ada pula yang menyunting rakaman ucapan saya dalam isu lain yang dah lama semasa saya masih di Malaysia, lalu dikaitkan dengan isu berkenaan.

Itu pun tidak betul. Saya tidak tujukan kepada peribadi, tetapi kaedah yang umum. Saya juga setuju, menegur pemerintah ataupun raja dalam isu peribadi memerlukan bahasa yang sesuai dan berkesan. Kritikan hendak membina (constructive criticism). Namun hak menegur tetap ada.

Saya mungkin tidak bersetuju dengan isi sesuatu kritikan. Bahkan saya mungkin menentang pengkritik itu sendiri dalam isu-isu yang lain.

Namun saya berpegang bahawa seseorang rakyat itu selagi dia menggunakan bahasa yang wajar dan hujah yang betul, tidak wajar untuk dia dihukum kerana mengkritik.

Mana-mana pihak yang menghalang orang mengkritik golongan bangsawan sekalipun dengan bahasa yang betul, adalah golongan feudal yang tidak wajar menguasai politik masa kini.

Adakah sesiapa dalam kalangan pemerintah kita yang lebih mulia, hebat dan gagah dari Saidina ‘Umar bin al-Khattab? Beliau pernah ditegur, namun beliau tidak menghukum pengkritiknya.

Khalifah Umar bin al-Khattab suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: "Wahai manusia dengarlah!" Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: "Kami tidak mahu dengar."
Lantas Umar bertanya: "Kenapa wahai Salman?"
Jawabnya: Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai."
Kata ‘Umar: "Jangan tergesa-gesa wahai Salman."

Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah.

Kata Umar: Aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku."

Jawabnya: Ya! Maka kata Salman: "Sekarang kami akan dengar". (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).
Tiada hukuman pun, sedangkan itu ‘Umar bin al-Khattab. Apakah kita merasakan bahawa ada pihak yang lebih mulia dari Nabi SAW dan para al-khulafa ar-Rasyidin.

Nabi SAW sendiri pernah dipersoalkan beberapa tindakan baginda seperti tentang isi perjanjian Hudaibiah yang baginda meterai.

Baginda tidak menghukum pengkritik. Sedangkan baginda seorang nabi. Siapakah yang merasakan lebih mulia dari baginda?

UlamaUlama mestilah bersikap seperti tokoh ilmuan agung mazhab al-Shafie iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H). Saya telah petik kisah beliau dalam artikel saya semasa saya masih menjadi mufti Perlis.

Saya ketika itu mengkritik kenaikan harga barang. Artikel itu disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia. Saya petik kisah al-Imam al-Nawawi r.h (631-676H) yang diminta oleh raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar.

Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad. Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan.

azlanAl-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab:

"Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas.

"Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki seberkas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamba perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga Baitul Mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu.

"Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan Nabi-Nya SAW. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Inilah tokoh Mazhab al-Shafi'i yang sangat hebat dari segi ilmu dan akhlak. Di Malaysia, ada yang fanatik mazhab. Pantang dengar orang tidak berpegang dengan mazhab Shafie yang "dia faham", terus hendak diadukan kepada sultan dan raja.

Malang sekali, sikap dan budi tokoh-tokoh mazhab itu tidak diteladani. Kita tidak meminta pemerintah supaya jadi seperti ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Kita minta jangan buat sesuatu yang menimbul persoalan dan kegelisahan rakyat.

Kita ingin sayangkan pemerintah kita dengan ikhlas. Pihak istana akan lebih dihormati dan disayangi jika mereka mengikut perkembangan dan perasaan rakyat.

Hari ini dunia terbuka. Memaksa orang suka hanya membakar rasa kebencian. Namun, akhlak yang baik, teladan yang bagus dan kehidupan yang jujur akan menjadikan sesebuah institusi itu bertambah dekat di hati dan jiwa rakyat.

NONEPROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan kini zamil di Universiti Oxford. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.


الفقير إلى الله :
فائز رمزي
Related Posts with Thumbnails