ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Sabtu, 26 Disember 2009

Apa Itu " اتقوا الله "

Kalimah Taqwa selalu didengari oleh setiap orang Islam. Antara rukun khutbah ialah berpesan supaya bertaqwa. Kaum lelaki yang datang ke masjid pada hari Jumaat akan mendengar Khatib berkhutbah. Pesan Khatib "Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa". Para jemaah yang tak tidur masa khutbah mesti dengar pesanan ini. Persoalannya sejauh mana kita menghayati dan mengikuti saranan dan pesanan tadi? Apabila disebut perkataan taqwa apakah yang kita faham? Apa itu taqwa?

Al- Asfahani mendefinasikan taqwa sebagai menjaga diri daripada melakukan sesuatu yang mendatangkan dosa iaitu dengan meninggalkan sesuatu yang dilarang. Sahabat nabi, Ibnu Abbas mengatakan bahawa taqwa ialah berjaga-jaga terhadap Allah dan balasan-Nya, manakala Ibnu Mas'ud ketika mentafsirkan firman Allah yang mafhumnya"Bertawalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa", beliau mengatakan bahawa taqwa kepada Allah ialah Allah mesti ditaati bukan diderhakai, diingati bukan dilupai, disyukuri bukan dikufuri.

Satu ketika Amirul Mu'minin Umar bin Al-Khattab bertanya kepada Ubay bin Kaab tentang taqwa. Ubay membalas "Wahai Amiral Mu'minin, pernahkan tuan melalui jalan yang penuh dengan duri? Jawab Umar "Pernah". Ubay bertanya "Bagaimana tuan melaluinya? Jawab Umar "Saya akan menyisingkan betis saya dan saya akan berhati-hati ketika melangkah supaya tidak terpijak duri". Maka jawab Ubay "Itulah taqwa".

Khalifah Islam ke empat, Ali bin Abi Talib RA apabila ditanya apa itu taqwa lalu beliau menjawab bahawa taqwa itu ialah takut kepada Allah yang maha agung, beramal dengan Quran yang diturun, redha dengan sedikit, bersiap sedia untuk pergi ke tempat manusia akan dibangkitkan nanti.

10 pesanan LUQMANUL HAKIEM kepada anaknya

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya:

 “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” QS. 31:13

Tiada kata seindah doa dan nasihat yang berguna, Lukmanul Hakim adalah seorang hamba pilihan Allah, yang dianugerahi banyak hikmah dan rahsia kehidupan. Pada anaknya Lukmanul Hakim memberi nasihat, yang sarat makna dan rahsia kehidupan, semuga jadi pegangan.
1. Wahai Anakku yang ku sayangi…
Ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama taqwa, isinya iman dan layarnya adalah tawakkal kepada Allah SWT.

2. Wahai anakku yang ku sayangi…
Sesungguhnya orang-orang yang selalu menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat perjuangan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar telah menerima kemuliaaan dari Allah.

 3. Wahai anakku yang ku sayangi…
Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka dia bertawadhu’ kepadaNya. Dia akan lebih taat kepada Allah dan selalu berusaha menghindari maksiat.

 4. Wahai anakku yang ku sayangi…
Seandainya orang tuamu marah kepadamu (kerana kesalahanmu) maka marahnya orang tuamu itu adalah bagaikan pupuk bagi tanaman.

 5. Wahai anakku yang ku sayangi…
Jauhkanlah dirimu dari berhutang kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

 6. Wahai anakku yang ku sayangi…
Selalu berharap kepada Allah tentang segala sesuatu yang menyebabkan dirimu tidak derhaka kepada Allah. Takutlah kepadaNya dengan sebenar takut, tentulah engkau akan terlepas sifat putus asa dari rahmat Allah SWT

 7. Wahai anakku yang ku sayangi…
Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan senantiasa melamunkan perkara yang tidak benar, ketahuilah memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah dari mengembalikan nama baik atau kehormatan.

 8. Wahai anakku yang ku sayangi…
Engkau telah merasakan betapa berat memindahkan batu itu dan besi yang amat berat tetapi akan berat lagi dari semua itu, adalah apabila kamu mempunyai jiran tetangga yang jahat.

 9. Wahai anakku yang ku sayangi…
Janganlah sekali-kali engkau mengirimkan seseorang yang bodoh menjadi utusan. Jika tidak ada orang yang cerdas dan pintar, sebaiknya dirimu sendiri yang menjadi utusan.

 10. Wahai anakku yang ku sayangi…
Makanlah makanan bersama orang-orang yang bertakwa dan musyawarahkanlah urusanmu dengan para alim ulama dengan cara memohon nasihat kepadanya...
Related Posts with Thumbnails