ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Selasa, 21 September 2010

Ma'lumat Terkini Mengenai Urusan Pelajar Baru Madinah Sehingga selasa,21/9/2010



Salam, ade beberapa berita terbaru yg ana ingin kongsikan:

1 - sekarang sudah boleh dapatkan e-number untuk medical check up. bagi yg belum mendapatkan e-number boleh terus menghubungi Ust Saifuddin: 0199847636 atau En Shuib: 0192063473 dengan sesegera mungkin. bagi mereka yang telah menghubungi Ust Saifuddin dan En Shuib, ana telah smskan

2 - jangan lupa tentang pembayaran untuk proses e-number medical check up dan visa ni. jumlah bayaran adalah RM 200 iaitu RM 50 untuk e-number medical check up, RM 50 untuk e-number visa, RM 50 untuk bank draft (optional klu nak buat sendiri) dan RM 50 untuk caj perkhidmatan. sediakan bayaran tu dan pastikan anda membayar jumlah tersebut kepada Ust Saifuddin atau En Shuib apabila bertemu mereka nanti. memang bagus kerana mereka mendahulukan duit mereka dahulu untuk proses2 tersebut tetapi ingatlah mereka juga perlukan duit ye...tanya mereka bagaimana pembayaran boleh dibuat dan bila.

3 - selesai buat medical check up, pihak hospital akan submit result medical check up secara online terus ke saudi embassy. pastikan anda mendapat result medical check up secara bertulis juga. sebagai peringatan perlu dicop wisma putra (20rm satu cop) dan kedutaan Saudi (50rm satu cop.. *byrn mllui bank draft atas nma safaroh.. boleyh buat bedekatan safaroh ade maybank). sebagai cadangan, ana cadangkan bg yg ingin selesaikan sendiri cop borang medical check up tu, anda perlu cop di mane2 klinik kerajaan terlebih dahulu. kemudian anda perlu cop di wisma putra kemudian barulah di kedutaan Saudi kerana pihak wisma Putra tidak akan mengesahkan borang medical check up tersebut melainkan anda telah cop di mane2 klinik kerajaan. tetapi sesiapa yg ingin menggunakan khidmat tambahan daripada Ust Saifuddin atau En Shuib untuk mengesahkan borang medical check up tersebut, sila berhubung dgn mereka selepas anda dapat sahaja result medical check up anda.



4 - mengenai suntikan meningitis seperti yg terdapat dalam borang medical check up, anda wajib sebagai bukti. anda tidak perlu amik suntikan meningitis lagi sekiranya anda amik pada tahun lepas kerana suntikan tersebut tahan sehingga 2 tahun. bagi yg amik melebihi 2 tahun yang lalu, maka die perlu mendapatkan suntikan yg baru.

5 - urusan tiket tidak perlu dirisaukan insyaAllah kerana pihak travel dan juga Ustaz Zainal sedang berusaha membantu memudahkan urusan anda semua.

6 - pastikan anda telah menyelesaikan segala urusan2 kecil yg berkaitan terutamanya good conduct dan SSLN. bg yang belum buat SSLN, sila lakukan dgn segera kerana pemprosesan dokumen SSLN mengambil masa 7 hari bekerja. 
kepada setiap pelajar e-number masing2. sape yg telah menghubungi mereka tapi masih belum dapat e-number boleh maklumkan pihak urusetia atau mereka sendiri. borang medical check up yg telah siap diisi oleh hospital KPJ mendapatkan buku suntikan

*MINTA TOLONG SEBARKAN KEPADA RAKAN-RAKAN MADINAH YANG LAIN

* pihak urusetia akan berangkat ke Madinah pada 29 hb 9 ni. tetapi bagi pelajar baru anda jangan risau kerana insyaAllah kita akan cuba mendapatkan satu tarikh yang sesuai supaya semua dapat berlepas ke Madinah pada satu tarikh yang sama. oleh itu amatlah diharap sangat semua pelajar baru dapat menyelesaikan segala urusan dengan segera. kami akan membantu selagi masih di Malaysia

* kepada yang belum dapat surat tawaran iaitu MUSTHAFA MU’ADZ BIN MOHAMMAD MASRUH, sila maklumkan kami perkembangan anda. kepada rakan2 yang mengenali 2 orang pelajar ini pula, sila bantu kami mengesan mereka:
1- ABDUL RAHIM JORET MENJEK
2- YAZID BIN ISA

* sebarang pertanyaan dialu-alukan.

Sekian. جزاكم الله خير الجزاء على حسن تعاونكم
MOHAMAD HANIF BIN MOHAMAD ZAID
KULIAH AL-QURAN DAN PENGAJIAN ISLAM,
UNIVERSITI ISLAM MADINAH

Puasa Enam Hari Di Bulan Syawwal



Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ‘Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).
Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):
(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]
Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.
 Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:
1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah saw" ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat:  Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]
Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
http://www.abuanasmadani.com/?p=182#more-182

Khamis, 16 September 2010

Mengenang Imam As-Syafi’ie rohimahuLLAH



Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H) merupakan salah seorang tokoh ilmuwan agung yang pernah dilahir oleh sejarah kegemilangan Islam. Beliau sebaris dengan jaguh-jaguh ilmu seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, al-Imam al-Auza’i, al-Imam Sufyan al-Thauri dan ramai lagi tokoh-tokoh agung dalam sejarah perkembangan fekah Islam.

Beliau berketurunan Rasulullah s.a.w. Nasabnya bertemu dengan Nabi s.a.w. pada ‘Abd Manaf. Syafi’ bin al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Nabi s.a.w., namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan oleh tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam.( Ibn Khallikan, Wafayat al-A’yan, 2/312).

- Gambar Hiasan -




Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal semasa muda. Maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 10/6). Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan sya‘ir, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya. (ibid, 10/6.)
Beliau terkenal dengan keikhlasannya terhadap ilmu. Walaupun amat menyayangi gurunya al-Imam Malik bin Anas dan gurunya juga menyayanginya, namun tidak pernah membuat beliau fanatik atau taksub kepada mazhab atau aliran fekah gurunya itu. Bahkan sejarah telah mencatatkan beliau telah menyanggahi pendapat-pendapat al-Imam Malik. Apabila al-Syafi’i datang ke Mesir, pada awalnya dia disambut oleh para pengikut Mazhab Malik kerana dia adalah seorang murid utama al-Imam Malik. Namun lama-kelamaan apabila mereka dapati dia menyanggahi Mazhab Malik mereka meninggal dan membantahnya. Bahkan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar Allah mematikannya demi memelihara Mazhab Maliki (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala` , 10/71-72).
Namun bagi al-Imam al-Syafi’i nilai taksub ini tiada padanya. Kebenaran lebih dicintai walaupun terpaksa menyanggahi gurunya sendiri. Penghormatan bukan bermaksud mengikuti setiap perkataannya. Kata al-Zahabi:
“Tidak syak sesungguh al-Imam al-Syafi’i apabila tinggal di Mesir lalu menyanggahi dan melemahkan beberapa pandangan fekah para ulama semasa dari Mazhab Maliki dengan dalil-dalil al-Sunnah, maka mereka terasa perit kerananya dan mereka menyakitkannya kembali. Berlakulah antara mereka ketegangan. Semoga Allah mengampunkan kesemua mereka..”( Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala` , 10/95).
Kata Muhammad Abu Zahrah:
“Sesungguhnya keikhlasan al-Syafi’i dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya sepanjang hayatnya. Sehingga dia menegakkan kebenaran di mana sahaja dia berada. Jika bertembung keikhlasannya itu dengan apa yang menjadi kebiasaan fahaman orang ramai, dia tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya dengan berani. Jika bertembung keikhlasannya kepada kebenaran dengan keikhlasannya kepada guru-gurunya, dia tetap akan mendahulukan kebenaran. Keikhlasannya pada gurunya al-Imam Malik tidak pernah menghalang beliau menyanggahinya selepas beliau teragak-agak untuk mengistiharkannya. Namun setelah sampai berita kepadanya bahawa ada pihak di Andalus yang meminta hujan dengan menggunakan (tawassul dengan) kopiah al-Imam Malik maka dia mengistiharkan bukunya untuk orang ramai. Tujuannya agar mereka tahu bahawa al-Malik adalah manusia yang terdedah kepada salah dan betul.” (Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s.455).
Fanatik mazhab telah menyebabkan dalam kalangan penduduk Andalus ada yang apabila berlaku kemarau atau kelewatan hujan, maka mereka akan solat istisqa` (minta hujan) dengan meletakkan kopiah al-Imam Malik di hadapan dan bertawasul dengannya. Bahkan di kalangan pengikut Malik di Mesir ada yang apabila dibaca hadis Nabi s.a.w., mereka menjawab dengan menyebut “berkata imam dan syaikh kami Malik..” Mereka menolak hadis demi membela pendapat imam mereka (lihat: ‘Abd al-Rahman al-Syarkawi, Aimmah al-Fiqh al-Tis’ah, www.qudsway.com/Links/Islamiyiat). Al-Imam al-Syafi’i menulis kitab menjawab pandangan-pandangan al-Imam Malik demi memahamkan pengikut mazhab tersebut bahawa imam mereka tidak maksum.
Penampilannya dengan hujah dan ilmu menjadikan beliau tokoh ilmuwan yang tidak diragui kehandalannya. Bahkan beliau tersenarai dalam kalangan mujaddid yang diiktiraf umat. Namun, seperti biasa setiap tokoh mempunyai penyokong dan musuh. Dalam kalangan musuh dan penyokong itu pula ada yang melampau dan ada yang sederhana.
Golongan yang melampau dalam sokongan akan memuji melebihi batasan yang patut. Demikian juga yang memusuhi apabila melampau akan menuduh dan mencipta tuduh yang bukan-bukan. Antara yang melampau memuji menyatakan di kuburnya ada tapak kaki Rasulullah s.a.w menziarahi al-Imam al-Syafi’i. Ini juga beberapa kali disiarkan di stesyen televisyen kita. Sedangkan beliau meninggal dunia selepas hampir 200 tahun Rasulullah wafat. Jika beliau membantah kemelampauan tindakan pengikut al-Imam Malik bin Anas, apakah beliau akan redha dengan dakwaan yang seperti ini ?!
- Gambar yang dikatakan tapak kaki Rasulullah s.a.w -

Saya agak tertarik dengan ulasan Muhammad Na’im al-Irqususi terhadap riwayat mimpi Abu Ja’far yang menceritakan:
“Aku lihat dalam mimpiku Nabi s.a.w. dalam masjid baginda di Madinah. Seakan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: “Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat Abu Hanifah?” Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat al-Syafi’i?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini –seakan baginda mengherdikku- “Kau kata pendapat al-Syafi’i?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku”. Al-Irqususi mengulas: “Bila pulak mimpi menjadi hujjah di sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai (thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!! (Siyar A’lam al-Nubala, 10/43).
Namun riwayat mimpi seperti ini selalu dijadikan hujah oleh golongan fanatik.
Dalam kalangan fanatik permusuhan kepada imam yang agung ini ada yang menuduhnya sebagai syiah dan beberapa tuduhan yang lain. Sehingga di zamannya beliau ditangkap dan digari. Al-Zahabi (meninggal 748H) menyebut:
“Sebahagian manusia mencercanya, namun itu semua menaikkan ketinggian dan kemuliaannya. Ternyata bagi yang mereka yang insaf bahawa ulasan mereka yang menyaingi beliau (al-Syafi’i) mengandungi hawa nafsu. Jarang sekali seseorang yang muncul keimamannya (ketokohan ilmunya) dan menjawab sesesiapa yang berbeza pandangan dengannya melainkan dia akan dimusuhi. Kita memohon perlindungan dengan Allah dari hawa nafsu”. (Siyar A’lam al-Nubala, 10/9).
Bahkan ada yang mencipta hadis palsu kerana fanatik kepada Mazhab Abu Hanifah lalu mencerca al-Imam al-Syafi’i. Disebut dalam hadis palsu itu, kononnya Nabi s.a.w bersabda: “Akan ada dalam kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Syafi’i), dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis. Akan ada pula seorang lelaki di kalangan umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku). Hadis ini direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengan perkembangan pengikut al-Imam al-Syafi’i di Khurasan (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182). Kata al-Jarahi (meninggal 1162H): “Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafi’i. Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta” (al-Jarahi, Kasyf al-Khafa,, 2/420).
Sementara kisah bohong lain seperti dalam buku al-Rihlah ila al-Rasyid pula memfitnah al-Imam Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dua tokoh dalam Mazhab Abu Hanifah berusaha membunuh al-Imam al-Syafi’i. Demikianlah timbulnya buruk-memburuk disebabkan fanatic mazhab.
Al-Imam al-Syafi’i ialah imam yang mulia seperti para imam tokoh ilmuwan silam yang lain. Mereka tidak maksum, tetapi mereka semua sarjana besar. Kita tidak perlu fanatik kepada mana-mana dalam kalangan mereka, sebaliknya membaca dan cuba memahami penghujahan mereka secara terbuka dan membaca alasan-alasan mereka secara perbandingan.
Tidak pernah mereka mengajar untuk kita berkata “siapa tidak ikut mazhab aku maka dia sesat”. Bahkan mereka menggalakkan penerokaan ilmu. Kesemua kemelampauan itu datang dari golongan fanatik yang selepas mereka. Bahkan ramai yang mendakwa mazhab Syafi’i atau Hanbali atau Hanafi atau Maliki, tidak pula meneliti sendiri tulisan dan perkataan imam-imam itu, sebaliknya sekadar mengajuk dakwaan orang lain yang mendakwa demikian. Lalu ada yang menuduh orang lain tidak mazhab Syafi’i hanya kerana menyanggahi pendapatnya, padahal belum tentu pendapatnya itu sama dengan al-Imam al-Syafi’i yang sebenar. Fanatik sentiasa membuta mata ramai orang.

*wallahu wa rosuluhu a’alam

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Rabu, 15 September 2010

Tanda-Tanda Kecil QiYaMah Berdasarkan Hadis




Antara Tanda-Tanda Kecil haRi QiYaMah Berdasarkan Hadis:

Zina Terang-terangan Berleluasa

…….“Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang sesuka hatinya melakukan persetubuhan di khalayak umum tak ubah seperti binatang keldai.. Maka pada zaman mereka inilah QiYaMah akan datang………”
 -Sahih Muslim-

Adakah kamu yakin perzinaan seperti keldai iaitu perzinaan terbuka masih sedikit berlaku? Anda yakin? Tidakkah anda sedar bahawa Industri pornografi lebih teruk dari persetubuhan keldai? Industri pornografi bersetubuh di depan khalayak Dunia! Jadi hadith ini sudah menjadi kenyataan pada masa kini!



Alat-Alat Muzik Menjadi kebanggaan dan digilai ramai

…….” Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan pada muka.. Ada kalangan sahabat yang bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah bila hal itu terjadi?” Baginda menjawab: “Apabila telah bermaharajalela muzik (bunyi-bunyian) dan ramainya penyanyi-penyanyi wanita…….”
 -Hadis RiWayah Ibnu Majah-

Mengenai hadith ini sudah tak dapat dinafikan lagi bahawa masyarakat kini begitu ta’sub dengan muzik sehingga terkeluar dari landasan yang dibenarkan syara’. Baru-baru ini rancangan Akademi Fantasia yang secara Ijmak HARAM menukar wajahnya. Semakin kelihatan baru dan bertenaga menenggelamkan Umat Islam di dalam Fantasi yang sedikit pun tidak memberi untung terhadap pembangunan dan kekuatan Umat Islam. Bukan saja tidak memberikan untung sebaliknya memberikan kerugian terhadap penontonnya yang majoriti Muslim dengan mengundi Artis kesayangan mereka. Masih ada lagi masyarakat yang mempunyai banyak masa untuk melayani karenah hiburan tanah air yang semakin hari semakin pelik ini.

Menghias-elokkan Masjid dan Membangga-banggakannya

……“Diantara tanda-tanda telah dekatnya QiYaMah ialah manusia bermegah-megah dalam mendirikan masjid…..”
 -Hadis riWaYAh an NasaE-

Mengenai hal ini, Negara kita(saya) Malaysia sendiri sudah boleh dijadikan contoh apabila masjid dijadikan perkara yang ingin dimegah-megah. Jurutera dan arkitek yang hebat diupah untuk menyiapkan masjid yang berstatus canggih dan mewah yang mana hanya dihadiri barangkali tak lebih 2 baris saf setiap kali waktu solah fardhu. Jika yang memenuhinya hanya 2 baris, adalah lebih baik baki jutaan ringgit untuk menyiapkan masjid itu diserahkan kepada faqir miskin!! Ade pekdahnye.



Penaklukan Baitulmaqdis

……….. Dari ‘Auf  bin Malik r.a katanya, “Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku menghitung enam perkara menjelang Hari QiYaMah. “Baginda menyebutkan salah satu diantaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis………..”
-Sahih Bukhari-

Ya, hari ini tidak ada sesiapa dapat menafikan bahawa dekatnya hari QiYaMah itu dengan penaklukan Baitul Maqdis. Namun amat mendukacitakan ialah umat Islam kini begitu leka tentang penaklukan Baitul Maqdis oleh zionis dan menganggap seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Umat Islam masih sibuk dengan politik tempatan yang tidak ada penghujung perbalahannya. Maka bertepuk tanganlah Sang Dajjal melihat kita berpolitik sehingga melupakan politik yang membabitkan Agama Islam iaitu antara Baitul Maqdis dan Palestin.

Khutbah Jumaat seluruh dunia kini dilihat begitu jarang menceritakan politik Palestin. Malah  mereka lebih gemar menceritakan perkara yang makmum boleh mendapatinya dengan mudah maklumat itu di mana-mana. Kebanyakan khatib dan teks yang disediakan majlis ugama Islam negeri kini amat jarang dilihat menceritakan tentang politik Palestin dan tidak ada semangat jihad yang ditiup ketika Khutbah Jumaat disampaikan.


Munculnya kekejian, Memutuskan Persaudaraan dan Bersikap Buruk Dengan Jiran

…….“Tidak akan datang QiYaMah sehingga banyak perbuatan-perbuatan dan perkataan-perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan bersikap  buruk dengan jiran tetangganya……”
 -hAdis RiWayH iMam Ahmad-

Ramai Orang-orang Soleh Meninggal Dunia

…….“Tidak akan datang hari QiYaMah sehingga Allah mengambil atau mencabut nYawa orang-orang yang baik dan ahli-ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari akan kemungkaran……”
- H.R Ahmad -

Orang Hina Mendapat Kedudukan Terhormat

………“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya QiYaMah ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka’ iaitu orang-orang  yang bodoh lagi hina.. Maka Orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia……”
 -hAdiS riWayAh at Thabrani-

Tanda inilah yang paling jelas berlaku dalam Masyarkat kita dewasa ini. Banyak negara Islam kini terdiri dari pemerintah yang tidak tahu untuk mentadbir Negara!! Sebaliknya hanya mengikut skrip gerak langkah kerja pentadbiran yang ditulis oleh golongan di sebalik tabir.. Siapakah golongan disebalik tabir itu?? Iaitulah golongan yang sebenarnya memiliki negara ini.. Lihat sahajalah Amerika.. Setiap Presidennya adalah orang yang keji dan jahat namun mendapat tempat terhormat dan tertinggi di mata masyarakat Dunia. Sekalipun manusia tahu mereka adalah hina, namun mereka diangkat ibarat TUHAN bagi mereka yang tidak mengetahui hal keadaan sebenarnya..

Mengucapkan salam HANYA Kepada Orang Yang Dikenali Sahaja

……“Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari QiYaMah ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali kepada yang dikenalinya sahaja…..”
 -haDis rIwaYAh iMAm Ahmad-

Tanda yang ini tidak perlu dihuraikan lagi kerana semua tahu bahawa inilah yang paling dahsyat berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini!!

Ramai Wanita Berpakaian Tetapi hakikatnya mereka itu BERtelanjang

…….” Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a “Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari QiYaMah ialah akan munculnya pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya seolah-olah mereka dalam  keadaannya seperti telanjang……”

Bulan Sabit Kelihatan Besar

……“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari QiYaMah ialah membesarnya bulan sabit….”
 -hAdis RiwaYah at Thabrani-

Banyak Perkara Dusta dan Tidak Tepat dalam menyampaikan Berita

…….“Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh ibu bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu…….”
- Sahih Muslim-


Banyak Saksi Palsu dan Menyimpan Kesaksian Yang Benar

…….“Sesungguhnya sebelum datangnya hari QiYaMah akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar…….”
 -Riwayat Ahmad-

Negara Arab menjadi Padang Rumput dan Sungai

………“Tidak akan datang hari QiYaMah sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai……..”
- Sahih Muslim-

Demikianlah sebahagian daripada tanda-tanda kecil akan berlakunya hari QiYaMah. Marilah kita renungkan sejenak untuk menjadi panduan dalam hidup. Hidup kita hanya seketika sahaja di atas muka bumi ALLAH ini!! Seharusnya hidup yang singkat ini kita isi dengan sesuatu yang berfaedah samaada untuk diri sendiri, agama, bangsa mahupun Negara..

*wallahu wa rosuLuhu a’alam*Top of Form



Related Posts with Thumbnails