Bagaimana
Memakai Cincin Menurut Sunnah?
Ada seorang sahabat yang sangat mencintai sunnah
Baginda sallallahu alaihi wasallam telah bertanya kepada saya tentang cara
pemakaian cincin menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.
Saya tidak ingin menjawab dengan pandangan saya yang sangat faqir di
dalam ilmu, namun saya akan memberikan jawapan yang telah diberikan oleh
al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah dan para ulama yang lain. Jawapan
daripada para ulama ini akan saya ringkaskan agar mudah difahami oleh para
pembaca.
Ada beberapa perkara yang akan terlintas di dalam persoalan berkaitan
cincin :
1. Adakah terdapat berat yang khusus untuk memakai cincin?
2. Adakah kita boleh mengambil segala jenis logam untuk
dijadikan cincin seperti tembaga, besi dan lain-lain?
3. Adakah harus bagi kita memakai lebih daripada satu
cincin perak di tangan bagi lelaki?
4. Adakah cincin yang dipakai oleh Baginda sallallahu
alaihi wasallam mempunyai batu? Apakah jenis batunya?
5. Di jari manakah Baginda sallallahu alaihi wasallam
memakai cincin , kanan atau kiri? Dan bagaimana pula keadaan batu cincin
Baginda sallallahu alaihi wasallam, samada dipusingkan ke tapak tangan atau
tidak?
Ini antara soalan yang terlintas di dalam pemikiran kita. Sekarang kita
lihat pula bagaimana para ulama memberikan jawapan bagi permasalahan ini.
Jawapan yang akan saya kemukakan adalah menurut turutan soalan di atas. Di
harap para pembaca mengambil perhatian terhadap perkara ini.
JAWAPAN
BERAT CINCIN
1. Para ulama berbeza pandangan di dalam permasalahan berat
cincin yang dibenarkan. Al-Imam Haskafi rahimahullah, ulama bermazhab Abu
Hanifah mengatakan bahawa sesebuah cincin tidak boleh melebihi berat satu
Mithqal yang bersamaan 4.680 gram. Al-Imam Ibn Abidin yang merupakan ulama
bermazhab Abu Hanifah juga merajihkan pandangan pengarang kitab al-Zhaqirah
bahawa berat yang dibenarkan hanya satu Mithqal.
2. Para ulama Malikiyah pula berpandangan dibenarkan untuk
seseorang memakai cincin dengan kadar 2 dirham ke bawah. Berat dua dirham
menurut pengiraan moden ialah 3.125 gram × 2 = 6.25 gram
3. Para ulama Syafieyah pula mengatakan bahawa berat cincin
bergantung kepada adat atau uruf setempat. Jika melebihi daripada adat tempat
tersebut maka ianya dianggap membazir.
4. Para ulama Hanabilah pula berpandangan tiada
masalah untuk memakai cincin yang beratnya melebihi satu mithqal. Tetapi
dengan syarat tidak terkeluar daripada uruf atau adat setempat yang ditetapkan.
Jika melebihi uruf maka hukumnya adalah haram.
LOGAM YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT CINCIN
EMAS
1. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa emas dibenarkan
kepada wanita untuk memakainya, manakala bagi lelaki ianya adalah haram.
2. Manakala untuk kanak-kanak yang belum baligh, para ulama
Syafieyah di dalam pandangan muktamad di dalam mazhab berpendapat bahawa
dibenarkan bagi mereka untuk memakai emas samaada kanak-kanak lelaki atau
perempuan.
PERAK
1. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa cincin perak
dibenarkan kepada wanita. Manakala bagi lelaki pula terdapat perincian oleh
para ulama .
2. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa harus bagi lelaki
memakai cincin perak. Ianya menjadi sunnah kepada para sultan, para qadhi dan
yang seumpama dengannya. Manakala kepada selain sultan, qadhi dan yang seumpama
dengannya terlebih afdhal bagi mereka tidak memakai cincin perak.
3. Para ulama Malikiyah pula berpandangan bahawa memakai
cincin perak bagi lelaki adalah harus dan jika dipakai dengan tujuan mengikut
sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam hukumnya adalah sunnah dan haram
memakainya dengan tujuan berbangga diri.
4. Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa disunatkan
kepada sesiapa sahaja untuk memakai cincin perak bukan dikhususkan kepada
sultan dan qadhi semata-mata.
5. Para ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin
perak bagi lelaki adalah harus.
SELAIN DARIPADA EMAS & PERAK
1. Para ulama Malikiyah ( dalam pandangan yang muktamad )
dan ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin daripada besi, tembaga
dan seumpama dengannya adalah makruh berdasarkan larangan Baginda sallallahu
alaihi wasallam di dalam hadis. Hukuman ini merangkumi lelaki dan wanita.
2. Para ulama Malikiyah berpandangan bahawa mengambil
cincin daripada kayu, kulit dan batu adalah harus bagi lelaki dan wanita.
Manakala para ulama Hanabilah pula berpandangan diharuskan bagi lelaki dan
wanita memakai cincin daripada zamrud, yaqut, jed dan lain-lain jenis batu.
3. Para ulama Syafieyah pula mempunyai dua pandangan di
dalam permasalahan ini. Sebahagian mengatakan bahawa hukumnya makruh memakai
cincin selain emas dan perak. Manakala sebahagian lagi mengatakan tidak makruh.
Al-Imam Nawawi rahimahullah berpandangan dengan mengatakan tidak makruh memakai
cincin daripada selain emas dan perak . al-Imam Qalyubi di dalam Hasyiyahnya
juga mengatakan bahawa tiada masalah untuk memakai cincin daripada tembaga ,
besi dan lain-lain.
4. Para ulama Hanafiyah pula seperti al-Imam Ibn Abidin
rahimahullah mengatakan bahawa dihalalkan bagi lelaki memakai cincin perak dan
diharamkan memakai cincin emas, tembaga atau besi. Manakala mengambil cincin
daripada batu adalah dibenarkan khususnya batu aqiq.
HUKUM BERBILANG-BILANG CINCIN
1. Para ulama Malikiyah mengatakan bahawa diharamkan bagi
seseorang lelaki memakai lebih daripada satu cincin.
2. Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa dibenarkan
untuk memakai 2 bentuk cincin perak dalam satu masa. Ini seperti yang
disebutkan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah. Makruh hukumnya
memakai lebih daripada 2 bentuk cincin. Al-Imam Isnawi rahimahullah juga
berpandangan sedemikian dan kata al-Imam Khawarizmi di dalam al-Kafi : Makruh
memakai kedua-dua cincin tersebut pada satu jari.
3. Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa dibenarkan
bagi lelaki memakai dua cincin dan lebih selagi mana tidak keluar daripada adat
setempat.
4. Manakala para ulama Hanafiyah tidak pula kedapatan
mereka mengeluarkan pandangan di dalam masalah ini.
BENTUK CINCIN RASULULLAH
1. Cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam ada dua jenis.
Ada yang diukir perkataan “ Muhammad Rasulullah” dan ada yang diletakkan batu.
cincin batu zabarjad ? |
2. Jenis batunya menjadi perbahasan para ulama, sebahagian
mengatakan bahawa ianya adalah jenis aqiq dan al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi
mengatakan bahawa beliau melihat di dalam kitab Mufradat fi al-Tibb
karangan Ibn al-Baithar bahawa jenis batu tersebut adalah zabarjad.
JARI YANG SUNNAH DILETAKKAN CINCIN
1. Bagi wanita tiada tempat yang khusus diletakkan.
Terpulang kepada mereka untuk memakai cincin dimana sahaja anggota. Samada di
kesemua jari tangan atau jari kaki sekalipun. Ini kerana itu adalah perhiasan
bagi mereka.
2. Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan jari yang
sunnah dipakaikan cincin bagi lelaki. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa
disunnahkan bagi lelaki untuk memakai cincin di jari kelingking sebelah kiri
dan bukan pada jari lain walaupun kanan. Sebahagian daripada ulama Hanafiyah
mengatakan bahawa diharuskan untuk memakai cincin pada jari kelingking kanan.
3. Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu, guru kepada
al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu mengatakan bahawa disunnahkan memakai
cincin di jari kelingking kiri dan beliau sendiri memakai
cincin di jari kelingking kiri. Al-Imam Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan
bahawa sunnah memakai cincin pada jari kelingking kiri dan makruh memakainya
pada kelingking kanan.
4. Para ulama Syafieyah mengatakan bahawa harus untuk
dipakai cincin pada jari kelingking kanan atau kiri sekalipun. Tetapi pandangan
yang masyhur ialah memakainya pada jari kelingking kanan kerana ianya merupakan
tempat untuk berhias. Manakala memakai cincin pada jari manis adalah
dibenarkan. Jari tengah, telunjuk dan ibu jari adalah dilarang bagi kaum lelaki
untuk meletakkan cincin padanya. Ini kerana terdapat larangan daripada Baginda
sallallahu alaihi wasallam kepada Sayyiduna Ali radhiyallahu anhu untuk memakai
cincin pada jari-jari tersebut.
5. Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa afdhal
memakai cincin pada jari kelingking kiri. Mereka juga berpandangan bahawa
dibenarkan untuk memakai cincin pada jari manis dan ibu jari. Manakala jari
telunjuk dan jari tengah adalah dilarang untuk meletakkan cincin padanya kerana
terdapat larangan yang jelas daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.
KE ARAH MANAKAH BATU CINCIN DIPUSING?
1. Para ulama mengatakan bahawa dibenarkan untuk kita
menzahirkan batu cincin ke atas. Namun yang lebih afdhalnya menurut sunnah
Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah dengan memusingkan arah batu tersebut
ke telapak tangan.
Semoga kita semua dapat mengambil manfaat dengan perbahasan ini bagi
menghidupkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.
RUJUKAN :
1. Mausu’ah al-Kuwaitiyah Jilid 11
2. Al-Hawi lil Fatawi oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi
radhiyallahu anhu , jilid 1 mukasurat 75-76 cetakan Darul Kutub Ilmiyah tahun
1982
Penulis :
Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir, Univ. eL Azhar, eGypt ..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan