ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Sabtu, 24 Julai 2010

JENAYAH ARAK MENURUT PANDANGAN ISLAM..



PENDAHULUAN
Meminum arak ataupun minuman beralkohol yang memabukkan merupakan salah satu dosa besar dalam agama Islam. Ia haram diminum samada dalam kuantiti yang banyak ataupun sedikit, samada si peminum tadi mabuk ataupun tidak akibat dari meminumnya.

Allah swt berfirman di dalam al Quran, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “

(surah al- Maidah: 90)

Nabi Muhammad S.A.W pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak ini iaitu sebanyak 10 golongan melalui sabdanya:

“Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis baginda bahawa ia melaknat berkenaan dengan arak ini terhadap sepuluh golongan:

(1) yang memerahnya, (2) yang meminta diperahkannya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang meminta dihantarkan ia, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya(mengambil untung dari penjualannya), (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelik akannya. "

(Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)
  
DEFINISI ARAK
Arak ialah minuman yang memabukkan. Dalam bahasa Arab dinamakan khamar, berasal dari kata khamara ertinya menutupi. Seseorang yang minum arak atau khamar, biasanya ia mabuk, hilang akal fikirannya tertutup jalan kebenaran, dan ia lupakan dirinya dan lupakan Allah.
Minum arak hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, hukum mabuk atau pun tidak, kecuali ketika darurat, dan arak itu adalah najis ainnya. Firman Allah yang bermaksud :
”Wahai orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (najis atau keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.
(Surah Al- Maidah ayat 90)
“Arak ialah Alkohol dalam bentuk ethyl alcohol dan merupakan sejenis dadah yang bertindak ke atas otak manusia dan seringkali menyebabkan ketagihan. Ia dihasilkan oleh sel-sel ragi atau yeast yg bertindak ke atas karbohidrat yang terdapat dalam buah-buahan atau biji-bijian.”

Definisi arak sebenarnya ialah: sesuatu yang mengandungi alkohol yang memabukkan dan dikenali juga dengan minuman keras

Secara umumnya, arak boleh di kategorikan kepada tiga iaitu:
  1. Bir mengandungi 6% alkohol etanol
  2. Wain yang mengandungi 10-20% alkohol etanol
  3. Wiski yang mengandungi 35% alkohol etanol

Apa yang diharamkan oleh Islam adalah arak yang mana arak ini terdiri daripada air, karbohidrat (glukos), mineral, vitamin dan etanol iaitu sejenis alkohol.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Ibn Umar mafhumnya:
“Daripada Ibn Umar, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda; semua yang memabukkan adalah arak, dan semua yang memabukkan adalah haram”.

Jumhur ulamak mengelaskan arak sebagai najis. Apabila arak ini dikategorikan sebagai najis, apa yang najis bukanlah etanol sahaja yang terkandung di dalam botol arak tetapi apa yang dihukumkan najis adalah juga keseluruhan arak yang terdiri daripada air, karbohidrat, mineral, vitamin dan etanol. Air di dalam arak adalah najis dan begitulah juga vitamin yang terkandung di dalam arak. Sekiranya diasingkan air daripada minuman arak yang 100% terdiri hanya air, ia adalah tetap di katakan najis kerana air ini berasal dari najis arak. Sekiranya etanol dari arak ini diasingkan lalu menjadi 100% etanol, ia tetap najis kerana berasal dari najis arak. Namun sebarang etanol yang diperolehi selain daripada arak, ia adalah tidak najis. Kebanyakan alkohol di makmal tidak diperolehi daripada arak. 

Nasi yang dimasak pada tengahari atau petang apabila dibiarkan semalaman lalu di makan keesokan harinya, ia sudah mengandungi sedikit alkohol. Alkohol di dalam nasi ini boleh diasingkan melalui proses penyulingan. Persoalannya adakah nasi yang berusia hampir 24 jam ini dihukum sebagai haram kerana mengandungi etanol?? Hukumnya tetap halal dan masih harus dimakan kerana nasi ini tidak memabukkan hatta kalau dimakan sebanyak 3 pinggan.

Tapai pulut dan tapai ubi sangat sedap  sekali. Ia dibuat dengan memasak pulut atau ubi sehingga masak dan setelah masak ia disejukkan pada suhu bilik. Selepas sejuk ia dicampurkan dengan ragi yang sudah ditumbuk halus. Kemudian ia dibungkus atau dibiarkan dalam periuk atau sebarang bekas selama 2 atau 3 hari. Menjadilah makanan ini tapai pulut atau tapai ubi. Amat manis sekali dan sungguh menyegarkan.

Proses membuat tapai ini dinamakan Proses Penapaian di mana yeast atau ragi tersebut menukarkan karbohidrat kanji di dalam pulut atau ubi menjadi glukos di samping pembebasan air, karbon dioksida dan pelbagai vitamin lain sebagai hasil sampingan.  Proses penukaran karbohidrat kepada glukos ini tidak terhenti disitu kerana ragi atau yeast akan terus menukarkan glukos yang terbentuk kepada etanol.

Daripada penjelasan ini bermakna, tapai ubi atau  pulut yang telah diperam selama 2 atau 3 hari tersebut telah mengandungi  air, glukos, etanol selain vitamin dan produk lain. Persoalannya ialah, adakah tapai ini haram dan najis kerana kandungan di dalamnya adalah menyamai dengan minuman bir??

Jawapan kepada persoalan ini ialah tapai pada usia 2 atau 3 hari ini adalah halal  kerana ia bukan sesuatu yang memabukkan. Kalau minum atau makan tapai dengan kuantiti banyak  pun memang ia tidak memabukkan. Tapai pada usia ini iaitu 2 atau 3 hari hanya mengandungi sedikit kandungan alkohol etanol namun kandungan etanol dalam tapai ini adalah lebih tinggi daripada nasi yang sudah berumur hampir  24 jam.

Apabila tapai pulut atau tapai ubi ini dibiarkan pada suhu bilik untuk beberapa hari lagi, lebih banyak karbohidrat kanji ditukarkan kepada glukos dan etanol. Tapai yang sudah berusia 6 hari rasanya walaupun manis namun terdapat rasa yang tidak enak dan rasa ini sebenarnya adalah disebabkan rasa etanol. Pada usia tapai 6 hari ini, kandungan etanol di dalam tapai boleh menjangkau lebih daripada 6 atau 7 peratus iaitu menyamai kandungan etanol di dalam bir. Sekiranya kita makan tapai ini bersama airnya dalam kuantiti satu gelas besar, insya-Allah muka akan menjadi warna kemerahan dan kepala mula pening dan inilah yang dikatakan MABUK. Pada tahap ini tapai yang asalnya adalah HARUS telah menjadi HARAM kerana ia memabukkan.

Bagi mereka yang ingin sekali minum arak, mereka selalu berhujah “saya tahu bir memabukkan tetapi kalau saya minum sedikit bir pastinya ia tidak memabukkan”. Persoalan seperti ini adalah persoalan yang diajarkan oleh syaitan kepada manusia semoga seseorang yang bernama  manusia meminum bir tersebut.
Jumhur ulamak telah memutuskan bahawa “setiap yang apabila diminum banyak memabukkan, maka sedikit pun adalah diharamkan.” Berdasarkan ketetapan ini maka bir adalah diharamkan sama ada ia diminum sedikit atau pun banyak.

Terdapat minuman bir tanpa alkohol dan adakah minuman ini diharuskan?? Dari penjelasan saya di atas telah dinyatakan bahawa minuman arak adalah najis. Najis ini merangkumi segala komponen arak ini termasuk air, glukos, etanol, vitamin dan segala garam galiannya. Sekiranya arak yang terbentuk ini disuling untuk mengeluarkan segala alkohol etanolnya sehingga tidak ada lagi baki etanol dalam arak ini, umat islam tetap tidak boleh minum arak tiada alkohol ini kerana ia adalah tetap dihukumkan sebagai najis.   

Pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Ipoh pada 11-14 April, 1984, Majlis Fatwa telah mcngambil keputusan tentang alkohol iaitu:
1.      Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol itu daripada arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum Berdasarkan keputusan ini, pembuatan Mousy dan Malt Extract adalah haram.
2.      Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disulingkan adalah haram diminum.
3.      Minuman ringan yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
4.      Tapai halal dimakan
5.      Alkohol yang terjadi secara sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boIeh dimakan.
6.      Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol hukumnya harus dan dimaafkan.

Apa yang perlu ditegaskan berhubung keputusan majlis fatwa nombor 4 di atas yang mengatakan bahawa tapai halal dimakan adalah tidak mencukupi atau tidak lengkap. Memanglah tapai yang berusia 2-4 hari adalah halal dimakan dan tidak memabukkan tetapi tapai yang dibiarkan pada suhu bilik melebihi 5 atau 6 hari adalah haram dan memabukkan. Namun tapai yang dibeli dan  disimpan di dalam peti sejuk insyaAllah boleh terus dimakan walaupun berusia  seminggu kerana proses penapaian oleh ragi atau yeast adalah teramat perlahan apabila disimpan di dalam peti sejuk kerana suhunya yang rendah.

Apa yang menarik sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Islam ialah apabila arak ini telah bertukar kepada cuka, ia menjadi halal semula. Bermula sebagai halal iaitu pulut dan ubi serta tapai, kemudian ia bertukar kepada haram apabila menjadi minuman memabukkan namun apabila ia bertukar kepada cuka, ia kembali halal walau pun di dalam cuka ini mengandungi sedikit etanol yang masih belum sempat bertukar.
 Karbohidrat kanji (halal) => glukos (halal) => etanol (sedikit halal banyak haram) => cuka (halal) 

SEJARAH PENGHARAMAN ARAK
Merujuk kepada sejarah pengharaman arak dalam Islam, didapati pengharamannya dilakukan secara berperingkat-peringkat sebelum ianya diharamkan sepenuhnya. Pengharaman arak secara berperingkat-peringkat bertujuan memelihara maslahah ummat pada masa tersebut di mana ketika itu minuman arak telah menjadi adat dan minuman tradisi masyarakat Arab Jahiliyyah yang sukar untuk ditinggalkan secara sekaligus. Jika pengharamannya dilakukan secara drastic ataupun secara serentak, kemungkinan umat Islam pada masa itu tidak dapat mentaati larangan Allah SWT dan maqasid pengharamannya tidak akan dapat dicapai oleh masyarakat. 

Arak telah diharamkan dalam tiga peringkat. Pada peringkat pertama, Al-Quran telah membicarakan tentang keburukan arak melebihi faedahnya. Walaupun begitu, dengan turunnya ayat yang menyatakan hal tersebut, para sahabat yang warak sudah mula meninggalkannya. Mereka banyak bertanya kepada Rasulullah SAW tentang arak dan ini disebutkan dalam firman Allah SWT:
  “يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan
judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat
bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
(Surah Al-Baqarah: Ayat 219)

Terdapat  beberapa pendapat berhubung sebab turun ayat di atas. Antaranya Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Maisarah daripada Amru bin Syurahbil daripada Umar, “Ya Allah, terangkanlah kepada kami tentang arak dengan penerangan yang lengkap.” Kemudian turunlah ayat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 219 iaitu yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya...

Lalu Umar dipanggil dan dibacakan kepadanya ayat itu. Lantas dia berkata, “Ya Allah, terangkanlah kepada kami tentang arak dengan penerangan yang lengkap”. Lalu turunlah ayat dalam surah An-Nisa’, ayat 43 iaitu yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk...”
Kemudian Umar dipanggil dan dibacakan kepadanya ayat tersebut, lantas dia berkata, “Ya Allah, terangkan kepada kami tentang arak dengan penerangan yang lengkap”. Kemudian turunlah ayat dalam surah al-Maidah ayat 90 hingga 91 iaitu yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
Lalu Umar dipanggil dan dibacakan ayat itu kepadanya, lantas dia berkata,
“Kami berhenti”.                      
Al-Hasan berkata: “Arak diharamkan dengan ayat ini (Surah Al-Baqarah: ayat 219)”. Sekumpulan ulama’ mengatakan: Arak diharamkan dengan ayat 90 dan 91 dari Surah Al-Ma’idah. Paling shahih adalah pendapat yang mengatakan arak diharamkan melalui penurunan ayat 90 dan 91 pada Surah Al-Ma’idah.
Melalui firman Allah SWT dalam ayat 219, Surah Al-Baqarah ini juga,
sesetengah ulama’ berhujah dengan ayat :
قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ
(Katakanlah, pada kedua-dua ada dosa besar) untuk menunjukkan pengharaman arak.

Dalam Surah Al-A’raf, ayat 33, Allah SWT berfirman:
قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ

Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa.”
Oleh sebab Allah SWT menyebutkan dosa itu sebagai haram dan sifat arak itu pula dikaitkan dengan dosa, maka pastilah ayat ini mengharamkan arak.

Merujuk kalimah  إِثْمٌ  yang bermaksud ‘dosa itu’ dalam ayat 219, Surah Al- Baqarah, terdapat dua pendapat iaitu berkenaan pengertiannya:

i.Dosa itu ialah perbuatan yang dilakukan setelah ia diharamkan dan manfaat pula ialah yang dilakukan sebelum diharamkan.
ii.Dosa itu ialah apabila mereka meminumnya maka mereka menjadi mabuk, lalu mereka sanggup mencaci maki, mencederakan dan membunuh

Pendapat yang paling sahih, kalimah ‘dosa itu’ boleh diertikan kepada kedua-dua pendapat tersebut.

Manakala kalimah وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ
(dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia).

Terdapat tiga pendapat tentang ayat ini:

i. Manfaat itu bermaksud keuntungan daripada perniagaannya.
ii. Keseronokan dan kelazatan.
iii. Sekumpulan ahli bidaah mengatakan: Ia mempunyai manfaat untuk tubuh badan iaitu dapat mengekalkan kesihatan atau menyembuhkan penyakit, kerana ia berperanan menguatkan perut dan saluran darah pada urat. Seterusnya ia sampai ke organ-organ dalaman yang utama, mengeringkan kelembapan serta menghadamkan makanan yang keras sekaligus melembutkannya.
Pendapat yang paling sahih, manfaat tersebut ialah manfaat keuntungan perniagaan. Hal ini disebabkan mereka membawa arak itu dari Syam dengan harga yang murah dan menjualnya di Tanah Hijjaz dengan keuntungan besar. Kelazatannya pula merupakan mudarat bagi orang yang berakal kerana kelazatan yang diperoleh itu tidak berpadanan dengan kreativiti dan kewarasan yang dibawa oleh arak. Hinggakan golongan hamba abdi bertaraf rendah dan mereka yang serba kekurangan pun tidak mahu meminumnya disebabkan ia menghilangkan kemuliaan akal dan menghilangkan mutu penghasilan dan deria pembezaan.
Jelaslah, ayat Al-Quran di atas hanya menunjukkan keburukan minum arak jika dilihat dari sudut sosial dan individu. Selain itu, ayat ini juga menjelaskan kepada manusia bahawa mudarat yang terdapat di dalam arak lebih banyak daripada manfaatnya. Dengan penjelasan ini maka sebahagian sahabat mula berhenti minum arak memandangkan ianya mengandungi dosa. Namun ketika ayat ini diturunkan, arak masih belum diharamkan. Oleh itu, masih terdapat sebahagian daripada masyarakat yang masih belum menjauhkan diri daripada arak. Golongan seperti ini telah memberi alasan bahawa mereka meminum arak hanya untuk mengambil manfaatnya sahaja kerana Al-Quran masih mengakui bahawa arak juga ada manfaatnya dan bukannya untuk melakukan dosa.

Pada peringkat kedua, ayat Al-Quran diturunkan menyebut tentang pengharaman meminum arak pada waktu tertentu iaitu ketika hendak melakukan ibadah solat. Hal ini kerana ada sahabat yang sembahyang dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan salah bacaannya, sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan”
(Surah An-Nisa: Ayat 43)  
Ayat ini diturunkan berikutan peristiwa suatu waktu dahulu ketika Abdul Rahman bin Auf mengadakan kenduri dan mengundang para sahabat termasuklah Saidina Ali bin Abi Talib. Semua tetamu telah dihidangkan dengan minuman arak dan ketika masuk waktu Maghrib, Saidina Ali r.a telah mengimamkan solat dan telah membaca surah al-Kafirun ayat 1 hingga 3 dalam keadaan mabuk, lantas tanpa sedar telah mengubah makna ayat tersebut iaitu, “Katakan wahai orang-orang kafir, aku akan menyembah apa yang kamu sembah dan kami telah pun menyembah apa yang kamu sembah.”
Begitu juga dengan peristiwa di mana seorang lelaki Ansar bernama Utban bin Malik telah mengadakan jamuan yang dihadiri oleh kaum Ansar dan Muhajirin. Jamuan yang menghidangkan arak sebagai minuman itu telah menyebabkan seorang lelaki Muhajirin iaitu Saad bin Abi Waqas mabuk sambil bersyair memuji- muji kaumnya dan menghina serta mencaci kaum Ansar. Mendengar cacian itu, seorang lelaki Ansar terus memukulnya sehingga berdarah dan seterusnya menyebabkan keadaan menjadi huru-hara.
Pada peringkat yang ketiga, arak diharamkan sepenuhnya sebagaimana ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah, ayat 90 dan 91:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksdunya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu Berjaya”
Berdasarkan kepada ayat tersebut, jelas menunjukkan kepada kita bahawa hukum meminum arak itu adalah HARAM.

Kalimah فَاجْتَنِبُوهُdi dalam ayat 90 surah al-Maidah adalah fi’il amar yang merupakan ayat perintah daripada Allah supaya umat Islam wajib meninggalkan arak. Oleh itu, para ulamamengistinbatkan dan bersepakat bahawa hukum meminum arak adalah haram melainkan terdapat sebab-sebab lain yang mengharuskannya.
 
Bahkan sebelum turunnya ayat ini Umar bin al-Khattab r.a, sudah menduga bahawa arak akan diharamkan sekaligus. Oleh kerana itu beliau sentiasa berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, berilah penjelasan tentang arak dengan penjelasan yang cukup.” Andainya arak diharamkan sama sekali, mungkin sesetengah sahabat akan merasa keberatan meninggalkannya memandangkan minuman arak sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat Arab ketika itu.

Dengan turunnya ayat di atas, ayat-ayat terdahulu yang menyebut tentang arak telah dimansuhkan dari segi hukumnya. Ini bermakna kesan hukum ayat terdahulu tidak boleh dipakai lagi kerana ia telah dimansuhkan oleh ayat di atas.
 

ARAK DAN STATISTIK KEBURUKANNYA
Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :
* Hampir 45 - 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alkohol (arak).
* Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali.
* 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alkohol (arak)
* Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.
 ( Sumber Dipetik Dari: British Crime Survey 2007/08 )
Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak.
Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu.  
Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan.
Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak.
Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas.
Secara purata rakyat Britain 'menelan' arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak' sebelum ini.  
Hasil dari petikan statistik ringkas ini, adakah masih terdapat pemimpin yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB' sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan dan hanya beriman dengan ‘kawalan diri'?, disamping membawakan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?.
Sebenarnya, membenarkan penjualan arak adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dan lain-lain negara aktif arak.              
 
HUKUMAN MINUM ARAK DALAM ISLAM
Dalam Qanun jenayah syar’iyyah, seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atau tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari 80 kali sebat dan tidak  kurang dari 40 kali sebat. Hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a yang bermaksud:
”Rasulullah s.a.w telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebat juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulaullah s.a.w. dan inilah yang paling akau suka”.
Untuk mensabitkan kesalahan seseorang minum arak (khamar) adalah tertakluk dibawah tiga sebab:
i) Minuman yang diminum itu ialah khamar, iaitu minuman yang memabukkan dan yang menghilangkan akal fikiran manusia
ii) Orang yang meminum minuman itu mengetahui bahawa minuman yang diminum tadi memabukkan dan menutup akal fikiran.
iii) Sengaja melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan.

Seseorang yang meminum minuman yang boleh memabukkan, dan ia tidak tahu bahawa dengan meminum minuman itu ia akan menjadi mabuk tidak boleh dikenakan hukuman had keatas orang yang meminum minuman itu, sekalipun dengan sebab meminum tadi ia menjadi mabuk.

Orang yang melakukan kesalahan minum arak yang wajib dikenakan hukuman had adalah tertakluk dibawah syarat-syarat berikut:
i) Baligh
ii) Berakal
iii) Kemahuan sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa
iv) Minuman itu masuk ke dalam rongga melalui mulut
Kanak – kanak yang belum baligh atau orang yang gila yang minum arak (khamar) tidak boleh dikenakan hukuman had atau hudud ke atas mereka, kerana perbuatan mereka itu tidak boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah syar’iyyah yang boleh dikenakan hukuman had atau hudud. Ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya, dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gila’.
(Riwayat Bukhari dalam Sahih)


Bukti – bukti yang mensabitkan kesalahan seseorang itu minum arak  yang boleh dikenakan hukuman had atau hudud adalah sebagaimana berikut:
1) Syahadah (kesaksian)
2) Ikrar (pengakuan)

Kesalahan minum arak  boleh dibuktikan dengan keterangan lisan yang diberi oleh dua orang saksi atau dengan ikrar (pengakuan) yang dibuat oleh oarang yang dituduh itu dengan kerelaan dirinya sendiri tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

Saksi-saksi dari pihak pendakwa atau penuduh mestilah terdiri dari dua orang lelaki yang mempunyai syarat-syarat yang cukup. Jika saksi-saksi itu semuanya terdiri dari orang-orang perempuan atau seorang lelaki berserta dengan beberapa orang perempuan, maka kesaksian mereka itu tidak boleh diterima dan tidak boleh disabitkan kesalahan orang yang dituduh tadi, kerana kesaksian mereka itu boleh mendatangkan keraguan.

 HUKUMAN SEBATAN BAGI PEMINUM ARAK
Tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil daripada himpunan  hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :
1)   Hadis Nabi :
إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم
Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud)
2. Hadis Nabi :
أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين
Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim)
3. Hadis Nabi
كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين
Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim)
4.  Hadis Nabi :
أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين
 Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf), maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)
5. Athar sahabat
قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ
Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim )
6. Hadis Nabi
Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)
Jika dikatakan, itu semuadari hadis, maka apakah pula dalil al-Quran yang menyuruh? jawabnya adalah
وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44)

Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran.

- wallahu wa Rosuluhu a'alam -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails