ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Khamis, 23 September 2010

Kematian Itu Sesuatu Yang Pasti!!



Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menemui ajal ataupun kematian. Demikianlah sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah ta’ala yang menghiasi pentas kehidupan segala ciptaanNYA di atas dunia yang dikatakan FANA  ini . Namun ada hikmah yang tersembunyi di sebalik proses kehidupan dan kematian yang mewarnai hidup ini sebagaimana yang termaktub dalam firman Allah ta’ala dalam surah Al Mulk , ayat 2 yang bermaksud : Dialah Allah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup ( kamu ) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik ‘amalnya dan Allah Maha Berkuasa (membalas ‘amal kamu ) lagi Maha Pengampun ( bagi orang-orang yang bertaubah ) . Jelas dari mafhum ayat suci tersebut bahawa hikmah di sebalik kejadian kehidupan dan kematian ialah untuk menguji siapakah dari kalangan hamba-hamba Allah yang lebih bertakwa kepada-NYA .
            Allah ta’ala menegaskan bahawa setiap makhluk yang menghuni di muka bumi Allah ini akan binasa bila tiba masanya nanti termasuklah para nabi dan rasul yang terpilih dan juga para malaikat sendiri seperti Jibril , Mikail dan hinggakan Malakait Maut itu sendiri akan menemui mautnya. Hanyasanya Allah ta’ala sahaja yang kekal hidup sampai bila-bila sesuai dengan sifatNYA yang Maha Hidup . Dalam hal ini , Allah ta’ala berfirman dalam surah Al Rahman , ayat 26 - 27 yang bermaksud : Semua yang ada di bumi akan binasa . Dan hanya yang tetap kekal zat Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan .


            Apa yang jelas dari wujudnya kematian dan kehidupan yang bersilih ganti dalam perjalanan hidup ini ialah betapa dunia yang didiami ini sebenarnya bersifat sementara dan begitulah juga kehidupan manusia di dunia ini pun bersifat sementara juga . Oleh sebab itulah , Islam datang menjelaskan kepada ummahnya tentang hakikat penciptaan dan kejadian manusia ialah berdasarkan kepada soalan : Dari manakah kita datang ?? Untuk apa kita didatangkan ?? Dan ke mana pula kita akan pergi setelah kita datang ini ?? . Jawapan tersebut ialah dari Allah kita datang , untuk Allah kita hidup dan kepada Allah jualah kita akan kembali . Daripada sini , persepsi seorang muslim amat jelas tentang matlamat sebenar kehidupan dan kematian yang mewarnai pentas kehidupan mereka di dunia ini .


            Dengan kata lain , kehidupan di dunia ini menurut kaca mata seorang yang beriman kepada Allah adalah merupakan jambatan yang menuju ke ‘alam akhirat atau seumpama kebun akhirat di mana seseorang akan menuai hasilnya di hari akhirat kelak . Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang kekal di mana tidak wujud lagi istilah kematian dalam kamus kehidupan akhirat . Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : Apabila ahli syurga masuk ke syurga dan ahli neraka masuk ke neraka , maka didatangkanlah maut itu dan diletakkan di antara syurga dan neraka , kemudian disembelih . Selepas itu terdengarlah seruan : Wahai penduduk syurga !!!! Tidak akan terjadi lagi kematian . Wahai penghuni neraka !!!! Tidak akan ada lagi kematian . Dengan demikian , semakin bergembira dan bersukacitalah para ahli syurga dan sebaliknya semakin menderita dan sengsaralah para ahli neraka .
 ( Riwayah iMaM Bukhari )

            Terdapat sebahagian besar ummah Islam yang merasa gerun dan takut apabila disebut perkataan mati . Ada pula orang yang tidak merasa apa-apa , malah merasa biasa sahaja biarpun bila berdepan dengan kematian rakannya dan sebagainya . Sebahagian yang lain pula yang tidak beriman kepada hari akhirat menganggap bahawa apa yang berlaku ini , semuanya tidak lain melainkan lumrah kejadian ‘alam, dimuntahkan oleh rahim dan kemudiannya ditelan oleh bumi sebagaimana kepercayaan golongan Dahriyyin yang dirakamkan Allah ta’ala dalam surah Al Jathiyah , ayat 24 yang bermaksud : Dan mereka berkata : Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini . Kita mati dan kita hidup ( silih berganti ) ; dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan peredaran masa . Padahal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu . Mereka hanyalah menurut sangkaan minda mereka yang terbatas semata-mata .



            Manakala bagi orang-orang beriman dan meyakini hari akhirat , mereka percaya bahawa kematian yang bakal ditempohi nanti bukanlah nokhtah penghujung yang terakhir . Sebaliknya , perjalanan hidup mereka masih jauh di mana mereka akan berada di ‘alam barzakh terlebih dahulu sebelum berpindah ke ‘alam akhirat yang kekal abadi . Orang-orang yang beriman sebenarnya tidak sabar-sabar lagi untuk menghuni ‘alam syurga yang penuh kenikmatan sebagaimana telah terrmaktub pada firman Allah dalam surah Az Zumar , ayat 74 yang bermaksud : Dan mereka mengucapkan : Segala puji-pujian bagi Allah yang telah memenuhi janji-Nya kepada kami dan telah menjadikan kami mewarisi bumi syurga ini dengan sebebas-bebasnya , kami boleh mengambil tempat dari syurga ini di mana sahaja kami sukai . Maka pemberian yang sedemikian ialah yang sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang ber’amal .


            Selanjutnya , ingatan orang-orang mukmin tetap segar dan berkumandang dengan firman Allah dalam surah Al ‘Ankabut , ayat 64 yang bermaksud : Dan (ingatlah bahawa ) kehidupan dunia ini ( meliputi segala kesenangan dan kemewahannya jika dinilai dengan kehidupan akhirat ) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan . Sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui ( hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat )

 
            Lanjutan daripada itu , antara pesanan Rasulullah SAW kepada ummahnya di dalam menelusuri titian hidup di dunia ini ialah mengingati mati . ‘amalan tersebut bukanlah bertujuan untuk meninggalkan terus urusan keduniaan yang sedang rancak berlangsung . Lebih-lebih lagi , Islam menyeru ummahnya agar membangun akhirat seimbang dengan pembangunan keduniaan sehingga kebajikan dan kebaikan itu meliputi kesemuanya . Membangun keduniaan dengan bermodalkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah itulah yang sebenarnya dituntut oleh Islam . Oleh yang demikian , baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : Seandainya terjadi hari kiamat dan di tangan salah seorang kamu ada biji benih kurma , maka hendaklah dia menanamkannya ( mencampakkannya ke atas tanah untuk dikembang-biakkan benih tersebut ) .
( Riwayah iMaM Ahmad)



             Sehubungan itu , baginda Rasulullah SAW memuji sesiapa yang sentiasa mengingati mati dalam diari hidupnya sehingga dia dianggap oleh baginda SAW sebagai orang yang paling bijaksana di kalangan orang-orang mukmin . Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang sentiasa menghisab dan menghitung dirinya serta ber’amal sebagai persedian untuk bertemu menghadap Allah ta’ala selepas mati . Sedangkan orang yang kurang waras ialah orang yang sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah .
( Riwayah iMaM Tirmizi )



            Dalam satu hadis yang lain , baginda Rasulullah SAW menggalakkan ummahnya agar memperbanyakkan mengingati mati sebagaimana berdasarkan kepada sabdanya yang bermaksud : Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan . Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah , nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang , nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri .
( Riwayah iMaM Al Bazzar dan Al Baihaqi )



            Mafhum yang tersurat dan tersirat daripada dua hadis tersebut jelas menyimpulkan bahawa fitnah dunia ini yang terdiri daripada isteri , anak pinak , harta, pangkat , keturunan dan sebagainya selalu mengelabui pemikiran dan pandangan hidup manusia di samping sentiasa melalaikan dan melekakan manusia dari matlamat hidup yang sebenarnya . Oleh sebab itulah , baginda Rasulullah SAW sentiasa menganjurkan ummahnya agar selalu mengingati mati kerana ‘amalan tersebut akan membuatkan manusia sedar bahawa pesona atau fitnah dunia yang menghiasi ‘alam ini hanyalah permainan dan gurauan senda yang bersifat sementara sahaja . Ini bermakna, harta yang dicari akan hilang atau habis juga akhirnya , anak-pinak dan isteri akan ditinggalkan juga bila maut datang menjemput seseorang manusia serta pangkat dan keturunan pula akan luput ditelan bumi . Dalam hal ini , Allah ta’ala berfirman dalam surah Asy Syura , ayat 27 yang bermaksud : Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya , nescaya mereka akan melampaui batas di bumi ( dengan perbuatan-perbuatan liar durjana ) . Akan tetapi , Allah menurunkan ( rezeki-Nya itu ) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya . Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya lagi Maha Melihat dengan nyata .



            Dengan mengingati mati , seseorang muslim akan sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari bahawa Allah ta’ala Maha Memerhati dan Mengawasi setiap gerak-gerinya samada di waktu terang-terangan mahupun di kala waktu sunyi . Dengan mengingati mati juga akan mengurangkan panjangnya angan-angan , menjauhkannya dari fitnah dunia yang agak mempersonakan dan membersihkan hatinya dari terpalit dengan sifat sombong dan tamak . Seterusnya , mengingati mati akan menjadikan seseorang muslim mempunyai wawasan hidup duniawi dan ukhrawi yang jelas , memiliki semangat waja dan beristiqomah dalam menelusuri titian hidup yang penuh dengan pancaroba dan hatinya akan sentiasa bergantung harap hanya kepada Allah ta’ala .



            Apa yang diimpikan dalam dasar lubuk  jiwa seseorang yang beriman kepada Allah ta’ala melalui ‘amalan mengingati mati ini ialah mengharapkan agar apa yang dijanjikan Allah ta’ala kepada orang-orang yang beriman iaitu keredhaan ilahi dan juga kebahagiaan abadi di dunia dan di akhirat .


            
Perlu diinsafi bahawa kad jemputan maut akan datang pada bila-bila masa tanpa mengambil kira masa sihat atau masa sakit , masa senang atau masa susah , masa muda atau masa tua , lelaki atau perempuan , masa kaya atau masa miskin dan masa lapang atau masa sibuk . Malahan maut juga tidak akan terlewat atau tercepat dari ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah ta’ala di Luh Mahfuz . Maut menjadi satu rahsia yang hanya diketahui oleh Allah ta’ala sebagaimana ditegaskan sendiri dalam firman-Nya dalam surah Luqman , ayat 34 yang bermaksud : Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat . Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang terkandung dalam rahim ( ibu yang mengandung ) . Dia tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok ( samada baik atau jahat ) ; dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati . Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi Pengetahuan-Nya .



            Justeru , setiap insan sewajibnya menginsafi diri bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan bila sampai masanya nanti , setiap individu akan dipanggil bertemu menghadap Allah ta’ala . Alangkah beruntungnya bagi insan yang beriman dan bersiap sedia menghadapi hari kematian mereka dengan bekalan  ‘amal salih dan ketakwaan kepada Allah ta’ala dan sebaliknya , alangkah tersangat rugi dan malangnya orang-orang yang mengingkari kepastian hari akhirat dan tidak beriman kepada Allah di mana tiada lagi peluang kali kedua atau seterusnya untuk kembali ke dunia . Kehidupan di dunia hanya sekali sahaja bagi setiap insan dan kehidupan yang sebenarnya yang kekal abadi ialah kehidupan di ‘alam akhirat nanti . Firman Allah ta’ala dalam surah as sajdah , ayat 12 yang bermaksud : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin .

*wallahu wa rosuluhu a’alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails