Roslan Harun |
Bagaimanapun andaian anda salah. Kenderaan yang melepasi anda itu sebenarnya membawa orang besar dan berkuasa. Pegawai pengiring mengarahkan anda ke tepi dan kemudian konvoinya berdesup sekalipun lampu isyarat berwarna merah. Demikianlah contoh menunjukkan bahawa ada orang lebih hebat daripada undang-undang. Mereka mengatasi undang-undang. Kisah 'The Emperor's New Clothes' (Pakaian Baru Raja) menceritakan bagaimana seseorang yang berkuasa itu sentiasa dikatakan betul sekalipun dia tidak betul (raja berbogel tetapi dikatakan berpakaian paling cantik dan hebat). Anda benar kerana anda berkuasa. Yang penting di sini bukannya lojik sesuatu perkara itu tetapi siapa yang mengutarakan pendapat atau kata-kata tersebut. Kata-kata seorang pengemis atau tukang sapu sampah mengenai politik sudah tentu tidak akan dipandang dengan sebelah mata walaupun apa yang mereka katakan itu ada kebenaran dan lojiknya. Keadaan sebaliknya akan berlaku jika seorang raja atau mengemukakan pandangan. Walaupun kadang-kadang hal itu tidak masuk akal, disebabkan begitu berpengaruhnya orang tersebut, maka hal itu diterima juga orang awam kerana masing-masing terpaksa atau dipaksa mengakuinya. Situasi ini berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita tidak lepas bebas kerana ada pihak yang mengikat diri kita. Dalam dunia hari ini, di mana terdapat aneka kemudahan dan penciptaan, dikatakan kehidupan kita semakin aman, hakikatnya mungkin tidak begitu. Kita semakin takut, takut akan bayang-bayang kita sendiri dan juga takut kepada orang di atas kita kerana bagi mereka segala yang mereka utarakan kepada orang bawahan itu mereka anggap benar walaupun tidak benar. Kisah pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dalam dunia lama Melayu mungkin boleh dijadikan contoh mengenai apa yang didakwa betul dan tidak betul. Pada mulanya, Sultan mendapati Hang Tuah tidak betul dan perlu dihukum. Hang Tuah disembunyikan Bendahara Tun Perak di Ulu Melaka. Selepas Hang Jebat mengamuk dan Hang Tuah diperlukan untuk menghapuskannya, Hang Tuah dikatakan tidak bersalah pula. Hari ini Hang Tuah bersalah, esok Hang Jebat pula bersalah yang yang sentiasa betul adalah Sultan. Sultan akan sentiasa betul kerana baginda mempunyai kuasa. Kerana kuasa di tangan baginda, orang bawahan tiada hak untuk menyatakan sesuatu itu betul atau sebaliknya. Dunia ini memang aneh. 'Kebenaran' dapat dibeli dengan wang ringgit. Dengan itu siapa yang banyak wang dan berkuasa, dialah yang 'benar'. Dan orang yang membenarkannya mempunyai kepentingan sendiri. Bagaimanapun 'kebenaran' yang dibeli dengan wang ringgit ataupun yang ada udang di sebalik batu tidak bertahan lama. Dalam kisah 'The Emperor's New Clothes' sendiri memperlihatkan kebijaksanaan seorang budak yang dapat mengalahkan raja; memang raja bersalah dan tidaklah payah untuk diselindungkan keaiban raja seperti dilakukan menteri-menterinya. Mengenai kebenaran dan kemenangan, bijak pandai mengungkapkan "kebenaran itu tidak semestinya menang, dan kemenangan itu tidak semestinya benar." |
Rabu, 24 Februari 2010
kebenaran itu tidak semestinya menang, dan kemenangan itu tidak semestinya benar
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan