ترجُمة

English French German Spain Italian Dutch

Russian Brazil Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Translate Widget by Google

Isnin, 26 April 2010

BERCOUPLE

BERCOUPLE, setiap kali kita mendengarnya akan terlintas di benak kita sepasang insan yang sedang mabuk cinta dan dilanda asmara . Saling mengungkapkan rasa sayang serta rindu, yang kemudiannya memasuki sebuah biduk pernikahan. Lalu kenapa harus dipermasalahkan? Bukankah cinta itu fitrah setiap anak adam? Bukankah setiap orang memerlukan masa penyesuaian sebelum pernikahan?


MANUSIA diciptakan oleh ALLAH SWT dengan membawa fitrah (insting) untuk mencintai lawan jenisnya. Sebagaimana firman-NYA; Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi ALLAH lah tempat kembali yang baik (Syurga). (Ali Imran: 14).


Berkata Imam Qurthubi: ALLAH SWT memulai dengan wanita kerana kebanyakan manusia menginginkannya, juga kerana mereka merupakan jerat-jerat syaitan yang menjadi fitnah bagi kaum lelaki, sebagaimana sabda Rasulullah SAW; Tiadalah aku tinggalkan setelahku selain fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada wanita. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah)


Oleh kerana cinta merupakan fitrah manusia, maka ALLAH SWT menjadikan wanita sebagai perhiasan dunia dan nikmat yang dijanjikan bagi orang-orang beriman di syurga dengan bidadarinya.


Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata; Rasulullah SAW bersabda; Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. (Hadis Riwayat Muslim, NasaI, Ibnu Majah, Ahmad, Baihaqi)


ALLAH berfirman; Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik. (ar-Rahman: 70)


Namun, Islam tidak membiarkan fitnah itu mengembara tanpa batasannya. Islam telah mengatur dengan tegas bagaimana menyalurkan cinta, juga bagaimana batasan pergaulan antara dua insan berlawanan jenis sebelum nikah, agar semuanya tetap berada pada landasan etika dan norma yang sesuai dengan syariat.


ETIKA PERGAULAN DAN BATAS PERGAULAN DI ANTARA LELAKI DAN WANITA MENURUT ISLAM


1.Menundukkan pandangan: ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman- NYA; Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an-Nuur: 30) Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an-Nuur: 31)


2.Menutup Aurat; ALLAH berfirman dan jangan lah mereka mennampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (an-Nuur:31) Juga Firman-NYA; Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (an-Nuur: 59).


Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis. Dari Abu Daud Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.


3. Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita; Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firman-NYA; Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab. (al-Ahzaab: 53)


4.Tidak berdua-duaan Di Antara Lelaki Dan Perempuan; Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim). Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)


5.Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan): Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT; Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (al-Ahzaab: 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)


6.Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis; Dari Maqil bin Yasar r.a. berkata; Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir). Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. (Ash-Shohihah 1/448) Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya. Dari Aishah berkata; Demi ALLAH, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat. (Hadis Riwayat Bukhari)


Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW; Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud)


Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman-NYA; Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. (al-Isra:32)


HUKUM BERCOUPLE


SETELAH memerhatikan ayat dan hadis tadi, maka tidak diragukan lagi bahawa bercouple itu haram, kerana beberapa sebab berikut:


1.Orang yang bercouple tidak mungkin menundukkan pandangannya terhadap kekasihnya.


2.Orang yang bercouple tidak akan boleh menjaga hijab.


3.Orang yang bercouple biasanya sering berdua-duaan dengan pasangan kekasihnya, baik di dalam rumah atau di luar rumah.


4.Wanita akan bersikap manja dan mendayukan suaranya saat bersama kekasihnya.


5.Bercouple identik dengan saling menyentuh antara lelaki dan wanita, meskipun itu hanya berjabat tangan.


6.Orang yang bercouple, boleh dipastikan selalu membayangkan orang yang dicintainya.


Dalam kamus bercouple, hal-hal tersebut adalah lumrah dilakukan, padahal satu hal saja cukupuntuk mengharamkannya, lalu apatah lagi kesemuanya atau yang lain-lainnya lagi?



FATWA ULAMA


Syaikh Muhammad bin Shaleh al-Utsaimin ditanya tentang hubungan cinta sebelum nikah.
Jawab beliau; Jika hubungan itu sebelum nikah, baik sudah lamaran atau belum, maka hukumnya adalah haram, kerana tidak boleh seseorang untuk bersenang-senang dengan wanita asing (bukan mahramnya) baik melalui ucapan, memandang, atau berdua-duaan. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki bedua-duaan dengan seorang wanita kecuali ada bersama-sama mahramnya, dan janganlah seseorang wanita berpergian kecuali bersama mahramnya.


Syaikh Abdullah bin abdur Rahman al-Jibrin ditanya; Jika ada seseorang lelaki yang berkoresponden dengan seorang wanita yang bukan mahramnya, yang pada akhirnya mereka saling mencintai, apakah perbuatan itu haram?


Jawab beliau; Perbuatan itu tidak diperbolehkan, kerana boleh menimbulkan syahwat di antara keduanya, serta mendorongnya untuk bertemu dan berhubungan, yang mana koresponden semacam itu banyak menimbulkan fitnah dan menanamkan dalam hati seseorang untuk mencintai penzinaan yang akan menjerumuskan seseorang pada perbuatan yang keji, maka dinasihati kepada setiap orang yang menginginkan kebaikan bagi dirinya untuk menghindari surat-suratan, pembicaraan melalui telefon, serta perbuatan semacamnya demi menjaga agama dan kehormatan dirinya.


Syaikh Jibrin juga ditanya; Apa hukumnya kalau ada seorang pemuda yang belum menikah menelefon gadis yang juga belum menikah?


Jawab beliau; Tidak boleh berbicara dengan wanita asing (bukan mahram) dengan pembicaraan yang boleh menimbulkan syahwat, seperti rayuan, atau mendayukan suara (baik melalui telefon atau lainnya). Sebagaimana firman ALLAH SWT; Dan janganlah kalian melembutkan suara, sehingga berkeinginan orang-orang yang berpenyakit di dalam hatinya. (al-Ahzaab: 32). Adapun kalau pembicaraan itu untuk sebuah keperluan, maka hal itu tidak mengapa apabila selamat daripada fitnah, akan tetapi hanya sekadar keperluan.


SYUBHAT DAN JAWAPAN YANG SEBENARNYA


Keharaman bercouple lebih jelas dari matahari di siang hari. Namun begitu masih ada yang
berusaha menolaknya walaupun dengan dalil yang sangat rapuh, antaranya:


1] Tidak Boleh dikatakan semua cara bercouple itu haram, kerana mungkin ada orang yang bercouple mengikut landasan Islam, tanpa melanggar syariat.


Jawabnya: Istilah bercouple berlandaskan Islam itu cuma ada dalam khayalan, dan tidak pernah ada wujudnya. Anggap sajalah mereka boleh menghindari khalwat, menyentuh serta menutup aurat. Tetapi tetap tidak akan boleh menghindari dari saling memandang, atau saling membayangkan kekasihnya dari masa ke semasa. Yang mana hal itu jelas haram berdasarkan dalil yang kukuh.


2] Biasanya sebelum memasuki alam perkahwinan, perlu untuk mengenal terlebih dahulu calon pasangan hidupnya, fizikal, karaktor, yang mana hal itu tidak akan boleh dilakukan tanpa bercouple, kerana bagaimanapun juga kegagalan sebelum menikah akan jauh lebih ringan daripada kalau terjadi setelah menikah.


Jawabnya: Memang, mengenal fizikal dan karaktor calon isteri mahupun suami merupakan satu hal yang diperlukan sebelum memasuki alam pernikahan, agar tidak ada penyesalan di kemudian hari. Namun, tujuan ini tidak boleh digunakan untuk menghalalkan sesuatu yang telah sedia haramnya. Ditambah lagi, bahawa orang yang sedang jatuh cinta akan berusaha bertanyakan segala yang baik dengan menutupi kekurangannya di hadapan kekasihnya. Juga orang yang sedang jatuh cinta akan menjadi buta dan tuli terhadap perbuatan kekasihnya, sehingga akan melihat semua yang dilakukannya adalah kebaikan tanpa cacat. Sebagaimana diriwayatkan dari Abu Darda; Cintamu pada sesuatu membuatmu buta dan tuli.


FENOMENA COUPLE


Dalam situasi terkini, fenomena pergaulan bebas dan pengabaian terhadap nilai-nilai murni Islam berlaku pada tahap yang amat membimbangkan. Kebanyakan umat Islam kini tidak lagi menitik beratkan nilai-nilai dan adab-adab sopan yang dianjurkan oleh Islam melalui al-Quran dan sunnah rasul-NYA. Mereka bukan setakat mengabaikannya dan menganggap perkara itu tidak penting, bahkan mereka menganggapkannya sebagai satu perkara yang menyusahkan aktiviti mereka yang menurutkan nafsu dan perasaan semata-mata itu. Nauzubillah



Marilah kita sama-sama menjauhi perkara yang seumpama itu dan mejauhi hal-hal yang telah dilarang (haram). Tegakkanlah yang benar dan katakanlah salah kepada yang batil. Janganlah berhujah untuk membenarkan perkara yang telah terang haramnya di sisi-Nya.

~Baitul Muslim~

Syarat berDo'a

SYARAT-SYARAT BERDO’A

i. Dalam keadaan berwudhuk
ii. Dalam keadaan menutup ‘auroh
iii. Menghadap ke arah qiblah
iv. Dalam keadaan khusyu’ dan tawaddhu’
v. Tidak dalam keadaan tergesa
vi. Dimulai dengan memuji kebesaran ALLAH
vii. Kemudian berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW
viii. Membaca do’a itu dengan penuh harapan, insyALLAH diqabulkan
ix. Diakhiri dengan selawat dan salam
x. Seeloknya memahami dan mengetahui ma’na do’a yang dibaca



WAKTU YANG BAIK UNTUK BERDO’A

- Pada malam Qadr (sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan)
- Pada hari ‘arafah (9zulhijjah ketika jema’ah Haji wuquf di ‘Arafah)
- Pada bulan Ramadhan
- Pada malam Juma’at
- Pada hari juma’at (lebih lagi ketika imam duduk di mimbar hingga ia member salam)
- Pada tengah malam
- Seperdua malam yang kedua (selepas jam 12tengah malam)
- Sepertiga malam yang pertama (jam6-10)
- Sepertiga malam yang terakhir (selepas jam2 pagi)
- Pada waktu sahur sebelum fajar
- Sesudah berwudhuk
- Ketika orang azan untuk solah
- Antara azan dan iqomah
- Ketika bilal mengucapkan iqomah
- Ketika berbaris menuju jalan medan perang sabil
- Dalam pertempuran di medan perang
- Pada akhir tiap-tiap solah fardhu
- Pada waktu sujud dalam mahupun luar solah
- Ketika sedang membaca al-qurAn
- Setelah tamat membaca al-qurAn
- Ketika minum air zam-zam
- Pada ketika ayam jantan berkokok (waktu pagi)
- Pada sa’ah berkumpulnya orang Islam untuk tujuan agama
- Pada waktu berkumpulnya untuk berzikir, mempelajari al-qurAn atau mendengar pengajian agama
- Ketika menutupkan mata orang yang telah meninggal dunia
- Pada ketika turunnya hujan

SEBAB-SEBAB DO'A TIDAK DITERIMA
* Mengenal ALLAH tetapi tidak meng’amalkan suruhanNya
*  Mengatakan cinta kepada Rasul ALLAH tetapi masa yang sama mengenepikan sunnah baginda
* Membaca al-qurAn tetapi tidak ber’amal dengannya 
* Memakan segala ni’kmat ALLAH tetapi tidak bersyukur terhadapNya
* Mengatakan syaitan musuh tetapi tidak menentangnya
* Megatakan syurga itu benar tetepi tidak ber’amal untunkya
* Mengatakan neraka itu benar tetapi tidak melarikan diri darinya
* Mengatakan mati itu benar tetapi tidak bersedia untuknya
* Bangun tidur lantas menceritakan ke’aiban manusia lain dalam masa sama melupakan ke’aiban dirinya
* Mengebumikan mayat tetapitidak mengambil ‘iktibar daripadanya

Sabtu, 3 April 2010

'aurohMu wanita


Mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat.

Baru-baru ini isu niqab  timbul apabila Sheikhul Azhar Sheikh Muhammad Tantawi meminta para siswi Al-Azhar agar melepaskan niqab. Walaupun ada pandangan mazhab lain mengatakan suara dan seluruh badan wanita adalah aurat namun yang jelas Mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat.

Dan yang jelas lagi, tidak ada dalil Al-Quran serta hadis mengatakan bahawa suara dan muka wanita serta tangannya itu aurat sebagaimana sangkaan sesetengah pihak. Apakah mereka sedar bahawa Allah S.W.T membenarkan para sahabat berkomunikasi dan bercakap-cakap dengan mereka (isteri Nabi) di sebalik tirai sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
Bertanyalah kepada mereka dari belakang tabir yang demikian itu lebih bersih bagi hati kamu dan mereka juga.
(Al-Ahzab: 32 dan 53)

Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
"Apabila seorang gadis itu dewasa (sampai umur), maka tidak halal badannya terdedah selain muka dan tangannya sahaja."

Hakikat ini menggambarkan sebagaimana apa yang berlaku terhadap Asma binti Abu Bakar apabila Asma datang berjumpa Nabi SAW dengan pakaian jarang dan nipis. Baginda berpaling daripadanya lalu bersabda yang bermaksud:
Wahai Asma, seorang wanita apabila sudah baligh, tidak elok lagi badan (tubuhnya) kelihatan selain muka dan tangannya sahaja.
(Riwayat Abu Daud)



Demikian juga kaum wanita itu disuruh melabuhkan (tutupkan) atas lubang tengkuknya sahaja bukan bermaksud tutup atas muka mereka. Kata Syaikh Yusuf al-Qardawi, pendapat Ibnu Abbas lebih kuat dan masyhur pada pandangan jumhur (kebanyakan) ulama, kerana katanya, banyak ayat dan hadis yang mengarahkan kaum lelaki daripada umat Islam menyekat atau menutup pandangan mata mereka, sama juga dengan kaum wanita disuruh merendahkan pandangan mata mereka.

Jika muka dan aurat wanita sudah tertutup kemas di depan mereka maka pastilah arahan tersebut menjadi sia-sia dan percuma tanpa sebarang makna dan tujuan. Pada prinsipnya suara, muka dan tangan wanita bukanlah termasuk aurat. Sekiranya perkara tersebut memang merupakan aurat, maka sukarlah bagi kaum wanita dan tentunya taklif atau beban syariat yang dikenakan kepada mereka bersifat 'usr iaitu sangat sukar.

Ini bercanggah dengan prinsip agama Islam bahawa Ad-Dinu Yusr, iaitu agama itu mudah, sedangkan kaum wanita juga merupakan 'makhluk sosial' yang berhajat untuk berkomunikasi dengan sesama insan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik(sesuai dan sopan).
(Surah al-Ahzab: 32)

Allah tidak melarang mereka secara mutlak untuk bercakap dengan kaum lelaki bahkan membolehkan, selama tidak mendatangkan fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki itu. Allah melarang kaum wanita untuk melembutkan suara dan mendedah kecantikan mereka semasa bercakap dengan kaum lelaki supaya mereka tidak tergoda ataupun tergugat keimanannya dan menimbulkan berahinya.

Dengan demikian, pada prinsip suara, muka dan tangan wanita bukanlah aurat yang dilarang untuk dilihat atau didengarkan. Dahulu para sahabat daripada golongan lelaki dan wanita sering bertanya (berdialog) kepada Rasulullah SAW tentang masalah-masalah hukum-hakam dalam agama dan didengar oleh kaum lelaki dan wanita yang hadir daripada sahabat-sahabat baginda. Bahkan sering pula mereka berdialog dengan para sahabat dan sebaliknya sebagaimana di saat ada seorang wanita yang mengkritik Umar r.a. tentang perkara mas kahwin.

Rasulullah SAW pernah didatangi seorang wanita yang menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Rasulullah SAW dan membiarkan Rasulullah memerhatikan dirinya dari atas ke bawah, tetapi setelah tidak ada sambutan yang memberangsangkan, maka dia pun terus duduk di situ, lalu berkatalah salah seorang daripada kalangan sahabat: "Kahwinkanlah wanita ini dengan saya".

Maka Rasulullah SAW terus mengahwinkan wanita tersebut dengan lelaki yang berminat kepadanya itu.

Ini semua bukti melihat kepada muka wanita itu adalah harus dan bukan aurat. Menurut Al-Qurtubi, suara wanita di saat berkata-kata bukanlah termasuk aurat, lelaki dibolehkan bercakap-cakap atau berdialog dengan wanita kerana ada hajat. Demikian juga sebaliknya mereka dibolehkan membuka muka dan tangannya kerana tujuan tertentu tetapi wanita tidak dibolehkan memerdukan, melembutkan atau mengindahkan suaranya ketika bercakap dengan lelaki.

Ia kerana perkara demikian boleh menimbulkan berahinya dan juga membuat ia tergoda dan suka. Dengan demikian sangat dianjurkan bagi kaum wanita untuk tidak berdialog dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya. Dalam ketentuan syariah yang lebih berhati-hati (warak), dimakruhkan kepada kaum wanita untuk meninggikan suara dalam membaca al-Quran, demikian pula tidak disyariatkan 'azan' kecuali untuk jemaah wanita sahaja.

Di dalam syariat fikah, apabila seorang wanita ingin menegur kesilapan yang dilakukan oleh imam di dalam solat berjemaah, maka ia tidak boleh menegur dengan membaca 'tasbih' sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki, tetapi cukup dengan menepuk tangannya sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Demikian pula wanita tidak disyariatkan untuk membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang dengan bacaan yang nyaring pada sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana yang disyariatkan bagi kaum lelaki sewaktu melakukan sembahyang sendirian. Semua ini menunjukkan bahawa wanita mesti menjaga dan berhati-hati terhadap fitnah yang boleh disebabkan oleh suara dan perhiasan mereka, bukan bermakna suaranya dan perhiasan yang zahir merupakan aurat.

Di antara yang menggoda lelaki adalah derai tawa (ketawa) seorang wanita di depan mereka, apalagi jenis ketawa yang memberahikan. Demikian pula senyuman diiringi dengan ketawa kecil yang seksi lagi menggoda, inilah yang sangat dilarang oleh agama kerana untuk menjaga harga diri wanita dan juga mencegah daripada timbulnya fitnah. Sama juga membunyikan perhiasan yang tersembunyi di kakinya.

Jika perkara tersebut dikatakan aurat, kenapa Rasulullah SAW sendiri pernah mengizinkan isteri baginda melihat pertunjukan dua orang lelaki Habsyi bermain pedang di pekarangan masjid dan mendengar dua wanita bernyanyi di rumahnya.

Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a, katanya, Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke tempatku. Ketika itu di sampingku ada dua orang gadis yang sedang mendendangkan nyanyian tentang hari Bu'ats. Ku lihat Rasulullah SAW berbaring tetapi dengan memalingkan mukanya. Pada saat itulah Abu Bakar masuk dan ia marah kepadaku.

Katanya, "Di tempat rumah Nabi ada seruling syaitan?''

Mendengar seruan itu, Nabi SAW menghadapkan muka baginda kepada Abu Bakar dan berkata:

"Biarkanlah kedua-duanya, wahai Abu Bakar".

Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah SAW. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi, daripada Buraidah, menyebut:

Suatu hari Rasulullah SAW pergi untuk menghadapi suatu peperangan. Setelah baginda pulang dari medan perang, datanglah seorang wanita kulit hitam lalu berkata,

"Ya Rasulullah, aku telah bernazar, iaitu kalau tuan dipulangkan Allah dengan selamat, aku akan memukul rebana dan bernyanyi di hadapan tuan".

Mendengar hal itu, Rasulullah SAW bersabda:

"Jika demikian nazarmu, maka pukullah. Tetapi kalau tidak, maka jangan lakukan".

Kesemua keterangan tersebut menunjukkan bahawa suara wanita dan perhiasan yang zahir daripadanya bukan aurat. Rasulullah SAW juga secara praktikal pernah berbicara dengan kaum wanita seperti mana ketika menerima bai'at daripada kaum ibu sebelum dan sesudah hijrah. Bahkan dari segi syarak, baginda tidak pernah menghalang kaum wanita untuk melaksanakan urusan jual beli, menyampaikan ceramah, mengaji al-Quran, membaca qasidah atau syair.

Jika suara wanita itu dianggap aurat, sudah tentu dari segi hukum syarak dianggap haram.
Keterangan ayat al-Quran dan hadis, ditambah dengan kisah-kisah yang dapat dijadikan teladan pada zaman Rasulullah SAW dahulu seharusnya membuka mata fikir kita untuk tidak terus 'menzalimi dan menghukumi' wanita secara sewenang-wenangnya.





Adakah Al-Quran hasil kerja Syaitan?!



Soalan:

Bagaimana kita mengetahui bahawa Al-Quran bukan hasil kerja syaitan?

Jawapan:

Membalas dakwaan yang dikemukakan kaum Jahiliah Mekah, bahawa Nabi Muhammad SAW menerima wahyu daripada Syaitan, ayat-ayat berikut telah diturunkan:

"Sesungguhnya Al-Quran ini adalah bacaan yang sangat mulia,

Pada kitab (Maknun) yang terpelihara (Lauh Mahfuzh),

Tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan (Mutahharin),

Diturunkan dari Tuhan semesta alam."

(Al-Waqiyah 56: 77-80)

Kitab Maknun bererti kitab yang dijaga dengan sempurna serta terpelihara, merujuk kepada Lauh Mahfuzh di Syurga, tiada siapa yang boleh menyentuhnya kecuali Mutahharin, iaitu orang yang suci serta bersih daripada kejahatan seperti dosa. Ini merujuk kepada Malaikat. Syaitan dilarang sama sekali. Oleh kerana mustahil bagi Syaitan mendekatinya ataupun menyentuhnya, Seterusnya disebut di dalam Surah lain:

"Dan Al-Quran itu bukanlah dibawa turun oleh Syaitan-syaitan. Dan tidaklah patut mereka membawa turun Al-Quran itu, dan mereka pun tidak akan kuasa. Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengar Al-Quran itu."

(Asy-Syu'ara 26L 210-212)

Ramai orang mempunyai konsep yang salah tentang Syaitan. Mereka fikir Syaitan berupaya melakukan apa sahaja, kecuali untuk beberapa perkara, hanya Tuhan yang berkuasa berbuat demikian. Menurut mereka, kuasa Syaitan hanya berada di bawah sedikit daripada Tuhan. Oleh kerana mereka enggan menerima Al-Quran sebagai wahyu yang menakjubkan, mereka berkata Al-Quran adalah hasil kerja Syaitan.

Sekiranya Syaitan yang menulis Al-Quran, pasti tidak akan disebut di dalam Al-Quran:

"Apabila kamu membaca Al-Quran, hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari Syaitan yang terkutuk."

(An-Nahl 16: 98)

Adakah anda fikir Syaitan akan menulis begitu? Adakah dia akan berkata, "Sebelum membaca buku aku, mohon perlindungan Tuhan daripada aku?"

Terdapat beberapa ayat di dalam Al-Quran yang akan membuktikan bahawa Syaitan bukanlah pengaran Al-Quran:

"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan Syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendegar lagi Maha Mengetahui."

(Al-A'raaf 7: 200)

Mengapa Syaitan akan memberitahu pengikutnya bahawa apabila dia menggoda mereka, mereka perlu memohon perlindungan dari Allah SWT di mana Syaitan diakui sebagai musuh?:

"Hai sekalia manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah - langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."

(Al Baqarah 2: 168)

"Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah Syaitan?. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh nyata bagi kamu."

(Yasin 36: 60)

Syaitan licik, tidak hairan jika ia dapat mempengaruhi pemikiran manusia bahawa dia yang mengarang Al-Quran. Berbanding Allah yang Maha Kuasa, syaitan terlalu kecil, dan Allah SWT jauh lebih bijaksana. Allah mengetahui niat jahat Syaitan, oleh itu Allah SWT telah menurunkan ayat-ayat Al-Quran sebagai bukti Al-Quran adalah kata-kata Allah dan bukannya kata-kata Syaitan.

SUMBER: 20 Soalan Yang Paling Lazim Tentang Islam, Dr. Zakir Naik

Kebersihan Iman

DARIPADA seluruh kenikmatan yang dianugerahkan kepada kita, terdapat kenikmatan yang paling agung, iaitu hidayah iman dan Islam. Justeru, tanpa kedua-duanya, seluruh rezeki dan kenikmatan pada akhirnya hanyalah bencana.

Iman dan Islam itu menuntut umat manusia untuk sentiasa bersih, menjaga kebersihan bahkan mendidik ikhlas dan ‘thaharah’, serta ihsan. Ikhlas bererti menjaga kemurnian, kebersihan iman, iaitu niat dan ibadah serta muamalat sentiasa disesuaikan dengan syariat Allah s.w.t dan hanya kerana Allah jua. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Padahal mereka tidak disuruh, kecuali supaya menyembah Allah swt dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama dengan lurus.”Iman juga bererti jauh daripada syirik dan jauh daripada kesesatan, bersih dengan sebersih-bersihnya sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Kahfi, ayat 110 yang bermaksud:“Barang siapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan jaganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”

Bersih dalam beribadah adalah dengan niat ikhlas, tanpa syirik, riak, ujub, dan sebagainya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat dengan menunjuk-nunjuk (riak), maka sesungguhnya dia telah syirik (menyekutukan Allah s.w.t). Sesiapa puasa dengan riak, maka dia telah syirik dan sesiapa yang bersedekah dengan menunjuk-nunjuk, maka dia telah syirik. Allah s.w.t berfirman, ‘Akulah sebaik-baik pembagi bagi siapa yang menyekutukan Aku, siapa yang menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, maka seluruh amalannya sedikit atau banyak adalah untuk sekutunya yang dia telah berbuat syirik dengannya, sedangkan Aku Maha Kaya (tidak memerlukan) daripada amal itu.’” (Riwayat Ahmad)

Bersih dalam beribadah bererti melaksanakan sesuatu (ataus segala yang disyariat), sesuai dengan contoh teladan daripada Rasulullah s.a.w, sesuai pula dengan syariat Allah s.w.t, bersih daripada bidaah, tradisi atau amalan yang menyalahi syariah, tidak mengikut tatacara beribadah yang tidak diberi contoh Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan berada di neraka.” (Riwayat Abu Daud)

Ibadah itu mestilah sesuai dengan syariat, tentang syarat dan rukunnya, dengan niat ikhlas, hanya kerana Allah s.w.t. Itulah syarat diterima amal ibadah. Itu bererti bersih iman yang menghasilkan akhlak dan muamalah yang bersih. Akhlak yang dicontohkan Rasulullah s.a.w merupakan akhlak yang agung lagi terpuji. Dipuji oleh Allah s.w.t sepanjang masa yang di hadapan segenap makhluk yang tunduk pada-Nya. Kalam Allah s.w.t di dalam al-Quran itulah akhlak Rasulullah s.a.w.

Demikian diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah r.a yang bermaksud: “Tidakkah kamu membaca al-Quran? Akhlak baginda adalah al-Quran.”

Dengan al-Quran, kalam Allah s.w.t itulah Rasulullah s.a.w memimpin, memberi contoh teladan, membimbing, memperagakan, membuktikan, dan mendidik secara langsug sepanjang hidup baginda dengan akhlak yang paling bersih, paling tulus ke hadrat Allah s.w.t dan paling indah serta mengagumkan, dan penjadi pedoman yang kukuh bagi kehidupan umat manusia sepanjang zaman.

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Azhab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah s.a.w itu contoh teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan banyak menyebut nama Allah s.w.t....
Related Posts with Thumbnails